AUSTRALIA meluluskan satu undang-undang baharu yang akan memaksa syarikat-syarikat teknologi mendedahkan data yang disulitkan berkaitan aktiviti jenayah, lapor agensi berita China Xinhua.
Di bawah undang-undang baharu itu, yang diumumkan oleh Menteri Penguatkuasaan Undang-Undang dan Keselamatan Siber Angus Taylor pada Selasa, syarikat yang enggan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang boleh berdepan sekatan kewangan.
Taylor berkata undang-undang baharu itu merupakan kemas kini perundangan yang amat diperlukan dan digubal sebelum telefon pintar menjadi perkara biasa.
“Kita tahu lebih 90% data yang dipintas secara sah oleh Polis Persekutuan Australia (AFP) kini menggunakan beberapa bentuk enkripsi atau penyulitan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Taylor berkata ini memberi kesan langsung ke atas kira-kira 200 siasatan kes jenayah serius dan jenayah berkaitan keganasan dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini sahaja.
Meskipun undang-undang baharu itu akan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang di Australia, ia tidak akan memberikan hak kepada pihak berkuasa untuk menggunakan “pintu belakang” untuk mengakses peranti suspek.
Bagaimanapun, jika waran geledah untuk memantau telefon suspek diperoleh, pihak penguatkuasaan undang-undang akan dapat mengakses peranti itu dari jauh, melihat mesej yang disulitkan dan mencari serta memadam kandungan.
“Kesemua jenayah dalam kes yang diberi waran mestilah serius. Ia bukan sebarangan jenayah, ia adalah jenayah yang serius. Jadi hukumannya adalah penjara tiga tahun atau lebih,” kata Taylor. – Bernama, 14 Ogos, 2018.
Komen