TIGA daripada lima perkahwinan di Malaysia berakhir dengan perceraian antaranya kerana faktor pengaruh drama Melayu di televisyen, lapor Harian Metro.
Peguam syarie, Muneer Mohamed Farid berkata cerita drama Melayu itu tertanam dalam minda penonton terutama wanita yang kemudian terikut-ikut dengan watak-wataknya.
“Sebagai contoh, dalam drama kita lihat ada cerita pasangan yang sudah berkahwin bertemu dengan kekasih lama dan berakhir dengan penceraian,” katanya, seperti dipetik Harian Metro.
Kadar perceraian yang tinggi itu juga disebabkan punca lain termasuk kurang ilmu agama, masalah kewangan, dan media sosial.
Jelas Muneer, media sosial jadi punca perceraian kerana ramai pasangan suka berkongsi masalah rumah tangga di laman sosial.
“Seperti yang kita tahu, dalam laman sosial ada antara rakan yang kita langsung tidak mengenali mereka dan sebaik berkongsi ceria peribadi, mesti ada yang mengambil kesempatan,” ujar beliau.
Selain itu, keganasan rumah tangga juga satu lagi faktor keruntuhan institusi keluarga apabila ada isteri yang diperlakukan seperti “beg tinju” oleh suami setiap hari.
Laporan itu juga mendedahkan setakat 8 Ogos ini di Terengganu, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu merekodkan 2,694 tuntutan perceraian bersamaan 12 kes setiap hari. Manakala di Kelantan, sejumlah 2,657 kes perceraian direkodkan bagi tahun ini sehingga Julai.
Menurut Muneer, walaupun ada penurunan kes cerai di beberapa negeri namun kes-kes itu boleh dielak dengan rundingan kerana melibatkan isu-isu yang remeh. – 14 Ogos, 2018.
Komen