PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengadakan kunjungan rahsia ke Mesir pada Mei untuk berunding dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi berkenaan gencatan senjata di Semenanjung Gaza, lapor televisyen Israel semalam.
Tiada pengesahan tentang kunjungan itu daripada sumber rasmi, tetapi stesen Channel 10 berkata kedua-dua pemimpin bertemu pada 22 Mei.
Ia selepas protes besar-besaran pada 14 Mei di sepanjang sempadan Gaza, membantah pembukaan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jerusalem, mencetuskan pertempuran menyebabkan 63 rakyat Palestin meninggal dunia.
Gaza terletak antara Israel dan Mesir, yang sebelum ini menjadi orang tengah antara kerajaan Netanyahu dan gerakan Hamas yang mengawal kawasan pantai.
Menurut sumber AS yang dipetik oleh Channel 10, Netanyahu dan Sisi membincangkan tentang kemungkinan gencatan senjata jangka panjang di semenanjung itu, di mana Israel sejak 2008 pernah tiga kali berperang dengan Hamas.
Pejuang Hamas merampas kuasa di wilayah itu selepas berlaku perang saudara dengan gerakan Fatah diketuai presiden Palestin Mahmud Abbas, dan Gaza disekat oleh Israel selama berdekad.
Netanyahu dan Sisi juga mengkaji kemungkinan pihak berkuasa Palestin kembali ke wilayah itu.
Setakat ini presiden Mesir itu belum membuat sebarang kenyataan.
Gaza menyaksikan bantahan besar-besaran sejak Mac ketika rakyat Palestin mendesak hak untuk kembali ke rumah mereka selepas melarikan diri atau dihalau keluar sejak 1948 ketika perang dicetuskan oleh Israel.
Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman semalam berkata pertempuran antara militan Israel dan Palestin di Gaza tidak dapat dielakkan, walaupun beberapa gencatan senjata jangka panjang cuba dicapai.
Sekurang-kurangnya 169 rakyat Palestin dibunuh oleh senjata Israel sejak 30 Mac, kebanyakan kerana pertempuran akibat demonstrasi jalanan.
Hanya seorang askar Israel terbunuh oleh penembak tepat Palestin pada Julai. – AFP, 14 Ogos, 2018.
Komen