SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan bertanding bagi merebut jawatan gabenor Vermont, atas tiket calon Parti Demokratik.
Pada masa ini, undang-undang mewajibkan calon bagi jawatan itu hanya perlu menetap di Vermont sekurang-kurangnya selama empat tahun.
Malah, tiada had umur ditetapkan bagi mereka yang ingin bertanding jawatan itu.
Bagaimanapun, penyandang jawatan gabenor dari Parti Republikan, Phil Scott, berkata: “Secara jujurnya kita perlu melihat kembali perkara itu (had umur).
“Saya rasa calon sekurang-kurangnya sudah memperoleh lesen memandu ketika dilantik sebagai gabenor.”
Selain Scott yang bakal mempertahankan jawatannya, remaja lelaki itu, Ethan Sonneborn, bakal ditentang calon transgender pertama Amerika Syarikat, Christine Hallquist; veteran tentera laut dan pencinta alam sekitar, James Ehlers, serta pengarah eksekutif festival tarian, Brenda Siegel.
Sementara itu, Sonneborn dalam laman webnya berkata beliau memperjuangkan nasib keluarga kelas pertengahan dan golongan pekerja, selain mengemukakan idea yang tepat bagi melaksanakan pembaharuan penjagaan kesihatan.
Sonneborn turut memperjuangkan pembaharuan dalam bidang pendidikan dan pembangunan ekonomi, walaupun belum menamatkan persekolahan pada peringkat sekolah tinggi.
“Saya rasa, saya calon terbaik bagi mewakili perubahan yang kita amat perlukan,” katanya ketika berkempen di New York. – AFP, 14 Ogos, 2018.
Komen