Korea Utara, Selatan setuju sidang kemuncak di Pyongyang pada September


Sidang kemuncak itu sekaligus adalah yang ketiga membabitkan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un selepas pertemuan empat mata pada April dan Mei lalu. – Gambar fail EPA, 13 Ogos, 2018.

KOREA Selatan dan Utara bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak di Pyongyang pada September, seperti yang disepakati semasa mesyuarat peringkat tertinggi yang berlangsung di Panmunjom pada Isnin.

Bagaimanapun, tarikh sidang kemuncak itu tidak didedahkan, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat, lapor Yonhap.

Sidang kemuncak itu sekaligus adalah yang ketiga membabitkan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un selepas pertemuan empat mata pada April dan Mei lalu.

Ia juga julung kali diadakan di ibu negara Korea Utara selepas hampir sedekad berlalu dengan kali terakhir pada 2007.

Mesyuarat pada Isnin itu diadakan ketika kebimbangan proses mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear menjadi buntu, sejak sidang kemuncak di Singapura antara Korea Utara dan AS pada 12 Jun lalu.

Washington dan Pyongyang saling bertelagah apabila AS mendesak Korea Utara bertindak cepat sedangkan negara komunis itu berpendapat proses perlu dijalankan mengikut fasa, ia memaksa Korea Selatan memainkan peranan untuk memecahkan kebuntuan.

Mesyuarat juga membincangkan mengenai apa yang telah dilaksanakan sejak perjanjian dicapai di Singapura, terutama berhubung usaha yang dijanjikan untuk meningkatkan pertukaran dan kerjasama rentas sempadan.

Satu lagi agenda yang bakal dibincangan ialah mengisytiharkan tamatnya Perang Korea 1950-1953 secara rasmi, yang dipersetujui pemimpin untuk diumumkan menjelang akhir tahun ini.

Korea Utara mahu Seoul mengotakan janjinya mengakhiri perang secepat mungkin, sementara AS menuntut negara itu menunaikan ikrarnya untuk menamatkan semua ujian senjata nuklearnya terlebih dahulu.

Pada mesyuarat di Panmunjom, delegasi Korea Selatan diketuai Menteri Perpaduan Cho Myoung-gyon manakala rakan sejawatannya Ri Son-gwon, mengetuai delegasi Korea Utara. – Bernama, 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen