-2.jpg)
ARMADA Selangor sepakat mengkritik tindakan kem Rafizi yang tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan dalam agenda peribadi mengecapi kedudukan pada pemilihan PKR.
Selaku ketua Pemuda Bersatu Selangor, dalam tempoh hampir tiga tahun lalu telah dipastikan pihak Armada pelbagai peringkat di negeri Selangor meletakkan sepenuh jiwa dan raga bagi memastikan kejayaan Pakatan Harapan (PH) dengan kerjasama erat gabungan setiap parti.
Malah gabungan erat setiap parti dalam PH di seluruh pelusuk tanah air diterajui Dr Mahathir Mohamad yang membawa dinamik kesinambungan Anwar Ibrahim telah menyaksikan kejayaan PH mentadbir Malaysia pada hari ini.
Kini Dr Mahathir Mohamad di usia 93 tahun bertungkus-lumus bersengkang mata berusaha merencana agenda perubahan buat negara setelah dirosakkan oleh rejim Barisan Nasional (BN) di bawah Najib Razak dengan membawa semangat reformasi yang disepakati oleh seluruh gabungan.
Namun tindakan kem Rafizi ini jelas kebudak-budakan dan mencalar kesatuan yang dibina gah secara bersama hanya disebabkan kerisauan tidak berasas oleh kem Rafizi ataupun lebih jelas kerana motif peribadi mengecap kedudukan dalam saf kepimpinan PKR.
Terdahulu, kem Rafizi telah menyerang Azmin Ali dengan mengatakan bahawa beliau tidak setia kepada Anwar Ibrahim dan akan menentang beliau, namun segalanya tidak berlaku dan ternyata hanya lontaran persepsi oleh mereka.
Kini isu dalaman parti ini ingin dikaitkan pula dengan Dr Mahathir yang secara jelas dalam banyak kenyataan beliau bersedia untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Anwar Ibrahim.
Tindakan permainan persepsi ini jelas perbuatan yang mampu mengakibatkan sengketa dan memecahkan kapal besar PH.
Sedang kerajaan PH sedia-ada dengan gandingan Dr Mahathir Mohamad dan Wan Azizah Wan Ismail mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan bebanan yang maha hebat untuk melaksanan tanggungjawab untuk rakyat, namun bibit untuk memulakan sengketa ini wajar ditolak dan dikecam demi melunaskan harapan kepada rakyat.– 13 Ogos, 2018.
*Adhif Syan Abdullah adalah ketua Pemuda Bersatu Selangor
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen