Indonesia masih kesan mangsa gempa Lombok


PIHAK berkuasa Indonesia terpaksa menggunakan helikopter bagi mengagihkan bantuan kepada ribuan penduduk di kawasan terpencil di Pulau Lombok yang terjejas akibat gempa bumi kuat pada 5 Ogos lepas, kata seorang pegawai kerajaan di Jakarta.

Bantuan itu untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan pergunungan yang tidak boleh dilalui kenderaan, kata jurucakap pengurusan bencana nasional Sutopo Purwo Nugroho. 

Beliau berkata helikopter tentera serta anggota mencari dan menyelamat dikerahkan untuk menghantar kakitangan perubatan, makanan dan ubat-ubatan yang sangat diperlukan mangsa di kawasan terjejas. 

Sementara itu katanya, anggota penyelamat masih meneruskan usaha mengesan mangsa yang mungkin terperangkap dalam runtuhan rumah dan bangunan, lapor Xinhua.

Sehingga Isnin, jumlah korban mencecah 436 orang manakala 1,353 lagi cedera, kebanyakannya berasal dari daerah Lombok Utara yang paling teruk terjejas, ujar beliau.  

Gempa bumi bermagnitud 7.02 pada Skala Richter menggegarkan Pulau Lombok pada 5 Ogos memaksa 352, 793 penduduk dipindahkan dan berlindung di khemah sementara, kebanyakannya terletak di kawasan terpencil dan pergunungan. – Bernama, 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen