14 ditahan arahkan hukuman rogol terhadap remaja


Jirga adalah satu kesalahan dan dikecam kerana keputusan mereka yang kontroversi terutamanya apabila melibatkan wanita.– Gambar EPA, 26 Julai, 2017.

SERAMAI 14 ahli jawatankuasa kampung di Pakistan ditahan kerana mengarahkan hukuman rogol terhadap seorang remaja selepas abangnya didapati bersalah melakukan kesalahan itu, kata polis pada Rabu.

Insiden itu berlaku awal bulan ini di kejiranan Raja Ram di Muzaffarabad, kawasan pinggir bandar di tengah kota Multan, kata penyiasat kepada AFP.

“Jirga (jawatankuasa kampung) mengarahkan remaja berusia 16 tahun dirogol sebagai hukuman kerana abangnya merogol budak berusia 12 tahun,” kata pegawai polis Allah Baksh.

Katanya, jawatankuasa kampung itu didatangi lelaki yang mengadu adiknya berusia 12 tahun dirogol sepupunya.

Jawatankuasa itu kemudiannya mengarahkan pengadu merogol adik tertuduh sebagai balasan, kata Baksh.

Dakwaan itu disahkan pegawai polis yang mengetuai siasatan kes berkenaan, Rashid Taheem.

“Kedua-dua pihak membuat aduan rogol masing-masing di balai polis tempatan selepas insiden itu berlaku minggu lalu,” katanya kepada AFP.

“14 ahli jawatankuasa terbabit ditahan setakat ini,” katanya dan menambah suspek utama yang merogol budak berusia 12 tahun masih bebas.

Jirga atau jawatankuasa kampung ditubuhkan masyarakat tua dalam kalangan penduduk tempatan secara tradisinya bagi menyelesaikan pertelingkahan antara penduduk di kawasan luar bandar, di mana mahakamah dan hakim sukar didapati atau dipercayai.

Namun jawatankuasa berkenaan adalah satu kesalahan dan dikecam kerana keputusan mereka yang kontroversi terutamanya apabila melibatkan wanita.

Jirga terbabit dalam satu kes popular melibatkan keganasan seksual terhadap wanita pada 2002 apabila ia mengarahkan rogol berkumpulan terhadap seroang wanita bernama Mukhtar Mai selepas abangnya dituduh secara salah melakukan jenayah rogol.

Mai membuat keputusan luar biasa apabila menentang perogolnya dan mengeret mereka ke mahkamah. Penyerangnya bagaimanapun bebas namun dia diangkat sebagai aktivis wanita berprofil tinggi. – AFP, 26 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen