100 hari Pakatan perintah, Singapura rasa tak pasti, kata penganalisis


Julia Yeow

Kembalinya Dr Mahathir memerintah selepas 9 Mei lalu telah mencetuskan "kebimbangan" di kalangan pemimpin Singapura, kata penganalisis politik terkemuka mengenai kerajaan-kerajaan Asia Tenggara, Joseph Liow. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Ogos, 2018.

SIKAP keras Dr Mahathir terhadap Singapura sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya membawa lebih banyak ketidakpastian dalam hubungan dua hala republik itu dengan Malaysia, kata ahli panel pada forum mengenai 100 hari pentadbiran kerajaan baharu itu.

Pada forum yang diadakan di Singapura itu juga, kedengaran kebimbangan berlakunya ketegangan dalam hubungan kedua-dua negara, berdasarkan pengalaman semasa pemimpin berusia 93 tahun itu jadi pertama menteri kali pertama dulu.

Penganalisis politik terkemuka mengenai kerajaan-kerajaan Asia Tenggara, Joseph Liow, berkata kembalinya Dr Mahathir memerintah selepas 9 Mei lalu telah mencetuskan “kebimbangan” di kalangan pemimpin Singapura.

Liow berkata, kebimbangan itu lahir atas rasa tidak pasti mengenai dasar luar Putrajaya di bawah pentadbiran PH.

“Terdapat banyak ketidakpastian. 100 hari pertama telah mencetuskan perasaan lebih tidak pasti mengenai hubungan dua hala,” katanya di hadapan 150 hadirin pada forum anjuran akhbar Straits Times dan OCBC.

Tidak sampai sebulan selepas menang pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, Dr Mahathir mengumumkan bahawa Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang ditandatangani pentadbiran Najib dengan Singapura akan dibatalkan.

Dr Mahathir kemudian berkata Malaysia akan menangguhkan projek berkenaan, tetapi Putrajaya masih belum menjelaskan kedudukan sebenar mengenai projek HSR melalui saluran rasmi.

Kata Liow, beliau dapati pemimpin Malaysia menolak untuk menggunakan saluran rasmi bagi menjelaskan kedudukan sebenar projek HSR atau dalam kata lain, bertindak kasar.

“Ini bukan cara terbaik dalam diplomasi,” katanya.

Dr Mahathir seterusnya pada bulan lepas memberitahu pihak media bahawa Malaysia berhasrat mahu merunding semula perjanjian air dengan Singapura yang akan tamat pada 2016.

Beberapa orang yang hadir di forum itu juga menimbulkan persoalan sama, apakah kerajaan baharu Malaysia di bawah pemimpin yang amat jelas tidak menyukai Singapura, akan memberi ancaman kepada republik kecil itu. – 13 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen