AHLI Majlis Perbandaran Subang Jaya Wong Siew Ki kemungkinan besar menjadi calon DAP untuk pilihan raya kecil (PRK) Balakong.
Wong menjadi ahli majlis sejak 2016 dan berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, jawatankuasa lima anggota yang diketuai oleh ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang membincangkan empat calon yang berpotensi untuk PRK Balakong sehingga lewat malam tadi.
Empat ahli lain adalah Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Gobind Singh Teo dan Naib Pengerusi M Kulasegaran.
DAP dijangka mengumumkan calonnya di ibu pejabat parti itu pada pukul 1 petang esok.
Ki memberitahu The Malaysian Insight beliau belum menerima sebarang notis pemberitahuan rasmi daripada parti.
“Saya tidak fikir saya calon terbaik, semuanya terpulang kepada parti,” katanya.
Ahli politik berusia 32 tahun itu mempunyai ijazah bahasa dan komunikasi moden serta sarjana dalam kesusasteraan Cina dari Universiti Putra Malaysia.
Ki bagaimanapun berkata beliau akan mempunyai kelebihan jika parti itu mahu mencadangkan calon wanita bagi menambah dan memenuhi sasaran untuk mempunyai 30% perwakilan wanita di Dewan Undangan Negeri Selangor.
Pemimpin akar umbi Balakong DAP menentang keras bekas pengacara Astro AEC dan wartawan Yunna Tan, yang meletakkan jawatannya untuk menyertai DAP baru-baru ini, sebagai calon PRK.
PRK Balakong diadakan selepas penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan di KM11.7 Grand Saga Expresway pada 20 Julai lalu. – 13 Ogos, 2018.
Komen