4 parti kecil Sarawak bentuk gabungan baharu


Desmond Davidson

STATE Reform Party (Star), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Sarawak Workers’ Party (SWP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) membentuk gabungan baharu dengan nama Sarawak Baru, semalam.

Mereka tidak akan menyertai mana-mana gabungan sedia ada, sama ada Pakatan Harapan, Barisan Nasional atau Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presiden PBDSB Cobbold John dipilih untuk mengetuai gabungan itu sebagai pengerusi.

Salah satu resolusi yang diputuskan dalam mesyuarat semalam, menurut John, adalah untuk membentuk jawatankuasa kerja bagi mengkaji dan menghimpunkan isu yang akan membentuk “teras perjuangan politik Sarawak Baru”.

Setiap komponen parti diberikan tugas masing-masing sesuai dengan kemahiran mereka.

Star, sebagai contoh, diberikan tugas untuk menghimpunkan isu berkaitan keluhan dan penghakisan hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963, pertikaian mengenai sumber minyak dan gas, dan berhubung dua undang-undang kontroversi yang melanggar hak negeri, iaitu Akta Wilayah Laut 2012 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Presiden Star adalah aktivis hak negeri yang terkenal, Lina Soo.

PBDSB, sementara itu, sebagai parti yang hanya menerima keahlian daripada kaum Dayak, akan meneliti isu membabitkan Orang Asal Sarawak, seperti hak adat pribumi (NCR) berhubung pemilikan tanah dan budaya.

SWP, yang dibentuk oleh keluarga Ahli Parlimen Julau Larry Sng pada 2012 dengan tujuan untuk menewaskan Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Pilihan Raya Umum 2012, kini mempunyai hala tuju baharu.

Mereka diberikan tanggungjawab untuk menguruskan isu pekerja, khususnya dalam industri minyak dan gas, perladangan minyak sawit dan tapak pembinaan.

Teras, yang ditubuhkan pada 2013 oleh ahli yang digugurkan daripada Sarawak Progressive Democratic Party (kini Progressive Democratic Party – PDP), akan mengambil isu berkaitan pembangunan infrastruktur negeri.  

John berkata salah satu tugas SWP adalah untuk turut mengkaji Ordinan Buruh Sarawak yang “kami rasa banyak peruntukan ketinggalan zaman yang perlu dikemas kini dan dipinda untuk memenuhi permintaan dan cabaran semasa dan masa depan dalam pasaran buruh”.

Beliau berkata jawatankuasa kerja tersebut memberikan keempat-empat parti berkenaan tempoh sehingga tahun depan untuk menghantar dapatan mereka sebelum mesyuarat kepimpinan Sarawak baru yang seterusnya.– 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen