17 orang daripada satu keluarga ditemui maut akibat lemas


17 orang daripada satu keluarga ditemui maut selepas paras air banjir yang melanda kawasan perkampungan di Gujarat surut, kata pegawai kerajaan, ketika angka kematian akibat bencana banjir di negeri itu meningkat kepada 110.

“Mereka dipercayai lemas akibat banjir. Mayat kesemua mangsa ditemui tertimbus dalam tanah,” kata pegawai polis Inspektor A B Parmar kepada AFP dan berkata kesemua mangsa adalah daripada satu keluarga.

Pegawai kanan kerajaan Gujarati, Pankaj Kumar mengesahkan penemuan mayat di daerah Banaskantha itu.

Pihak berkuasa bencana negeri Gujarat berkata pada Rabu, sekurang-kurangnya 12 lagi mayat ditemui dalam tempoh satu malam ketika anggota penyelamat menyusur kawasan terjejas.

Angka rasmi kematian akibat bencana itu kekal 111 dengan lebih 36,000 orang dipindahkan ke kawasan selamat sementara helikopter dan bot masih cuba mendapatkan mereka yang masih terkandas untuk diselamatkan.

Perdana menteri Narendra Modi turut mengadakan tinjauan udara di sepanjang  kawasan terjejas dan menggesa mangsa terlibat untuk terus bertahan.

Selain Gujarat, negeri Arunachal Pradesh dan Assam turut dilanda banjir akibat hujan selain kawasan Odisha dan Bihar.

Di Assam sekurang-kurangnya 75 orang maut dan operasi di seluruh kawasan terjejas digerakkan sejak April. Puluhan ribu ekar tanaman turut  musnah dalam bencana itu. – AFP, 26 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen