KEPUTUSAN kerajaan Sarawak untuk meneruskan pembinaan empangan hidroelektrik di Sungai Trusan menjadikan jaminan bekas ketua menteri Adenan Satem untuk tidak lagi membina empangan sebagai sia-sia, kata pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.
Baru berkata dia terkejut sebaik sahaja perkara itu diumumkan ketua menteri Abang Johari Openg pada majlis rumah terbuka Hari Raya Sarawak Energy Berhad di Kuching Jumaat lalu.
“Kita tidak menjangkakan kerajaan akan membina lagi empangan, terutamanya selepas polisi sebelum ini adalah untuk tidak lagi membinanya.
“Ketua menteri sebelum ini Adenan Satem berkata tidak perlu lagi untuk membina empangan yang besar.
“Nampaknya jaminan yang dibuat kerajaan itu adalah sia-sia.”
Abang Johari berkata keputusan untuk membina empangan yang mampu menjana 275 megawatt (Mw) elektrik berdasarka kajian yang dibuat “tiga hingga empat tahun lalu”, kerana kerajaan Brunei berminat mendapatkan bekalan kuasa “murah” dari Sarawak untuk disalurkan kepada perumahan dan industri kecil di Temburong iaitu satu daerah di negara itu.
Katanya, Sabah turut menunjukkan minat yang sama untuk membeli bekalan elektrik daripada negeri itu.
Sementara itu pengerusi SEB Hamed Sepawi berkata syarikat tenaga negeri akan menyemak semula kajian mereka untuk memastikan bila pembinaaan empangan itu boleh dimulakan.
Empangan Trusan merupakan salah satu daripada 12 empangan hidroelektrik yag dicadangkan negeri itu untuk memenuhi kehendak dan permintaan negara jiran, adalah lebih kecil berbanding tiga empangan lain di negeri itu – Bakun yang mampu menjana 2,400 Mw, Murum (944Mw) dan Baleh (1,285Mw).
Pembinaan empangan Baleh dijadualkan siap pada 2025.
Baru yang juga ahli dewan undangan negeri Ba’Kelalan turut membayangkan terdapat penipuan dalam pembinaan empangan Trusan.
Beliau berkata ketika ditanya mengenai status empangan Lawas dan Trusan 2 yang dicadangkan pada masa bajet yang diadakan pada bulan November 2014, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Awang Tengah Ali Hassan menjawab bahawa “kedua-dua empangan masih dalam kajian”.
Baru berkata ia bertentangan dengan pendedahan Hamed.
Hamed memberitahu wartawan kajian itu siap empat tahun lalu.
“Saya ingin tahu apa sebenarnya situasi berhubung keputusan yang dibuat untuk pembinaan empangan dan apa kajian yang dijalankan itu.
“Ketika pengerusi SEB pun terkejut, timbul persoalan sama ada ia adalah keputusan yang dibuat tanpa berunding dengan pihak berkepentingan dan pakar lain.
Dengan arahan mengatasi kesimpulan, ahli Parlimen kini mencari jaminan daripada kerajaan “perlu ada kajian yang benar dan teliti dilaksanakan termasuk dengan EIA (penilaian impak alam sekitar) dan SEIA (penilaian impak lingkungan sosial) untuk projek itu diteruskan.
“Apabila ada aduan NCR, kerajaan perlu beri jaminan kepada rakyat mereka akan mendapat pampasan sebaiknya.”
Katanya pampasan itu “mesti bukan berdasarkan pandangan cetek kerajaan terhadap temuda, tetapi adat masyarakat, yang merupakan hak adat asli kepada pemakai genoa dan pulau galau.
“Kerajaan negeri juga perlu memberi jaminan semua kawasan Lawas dan Ba’Kelalan akan disalurkan bekalan elektrik dan kemudahan yang baik termasuk jalan berturap.” – 26 Julai, 2017.
Komen