BEKAS menteri, Rais Yatim melihat Pakatan Harapan (PH) tidak menunjukkan pendirian jelas dalam isu bahasa dan kepentingan orang Melayu walau sudah tiga bulan mentadbir.
Rais turut menyatakan kekesalan kerana kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas menteri Kabinet yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam kenyataan rasmi kerajaan.
Kataya, ia menunjukkan kerajaan memandang remeh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya lihat dari sudut bahasa kebangsaan, kerajaan hari ini tidak nampak kuat dalam faktor memperkasakan supaya ia tidak diperkotak-katikkan mana-mana pihak.
“Seolah-olah kenyataan sensitif yang dibuat sama ada Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran atau Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terlepas begitu sahaja.
“Kalau itulah keadaannya, ini bermakna Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan tidak diambil peduli oleh kerajaan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang membangkitkan teguran kepada kerajaan Pakatan Harapan berhubung isu penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.
Anwar dalam wawancara dengan Utusan Malaysia semalam berkata, isu melibatkan sensitiviti orang Melayu itu tidak harus dipandang remeh kerana boleh membawa kepada perkara lebih serius.
Anwar antara lain mengakui bahawa pelanggaran ke atas dasar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sememangnya berlaku tetapi ia perlu terus dipertahankan.
“Kita harus beri ruang kalau sesudah bercakap bahasa Melayu, kalau dia hendak bercakap dalam bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Arab, itu memang dibolehkan.
“Tetapi saya setuju dengan teguran bahawa tidak boleh dianggap remeh soal bahasa kerana sudah berjuang puluhan tahun dan pertarungan itu akhirnya kadang-kadang menjurus kepada pertumpahan darah seperti 13 Mei 1969,” kata Anwar.
Mengulas lanjut mengenai pendirian itu, Rais berkata Menteri Pendidikan Maszlee Malik sepatutnya mengambil pendirian tegas dalam soal pendidikan bagi menjaga kontrak sosial.
Beliau menggesa demikian ke atas menteri tersebut yang kini diasak berhubung dasar kerajaan ke atas beberapa isu termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk memasuki universiti awam.
“Kunci masa depan kontrak sosial adalah pendidikan. Kalau sistem pendidikan kita goyah, dan terlalu banyak jurusan rasmi seperti UEC dan lain-lain yang menuntut, ini akan melemahkan.
“Rakyat perlu memahami bagaimana terbentuknya kontrak sosial yang dibuat dahulu untuk diterima pakai sebagai tulang belakang pentadbiran negara, bukan sekadar bercakap,” ujar Rais. – 13 Ogos, 2018
Komen