TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menjelaskan mengenai kepulangan gadis berusia 11 tahun ke Thailand dan ketiadaan tindakan undang-undang terhadap suaminya yang merupakan penduduk Kelantan, kata Lawyers of Liberty.
Pengarah eksekutifnya Latheefa Koya menggambarkan kepulangan remaja perempuan berusia 11 tahun itu sebagai mengejutkan.
“Kenapa kanak-kanak yang menjadi sebagai saksi pendakwa utama, tiba-tiba dibawa ke Thailand? Adakah ini tidak menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung dan sebarang kemungkinan pendakwaan?
“Pastinya, pihak berkuasa di sini mempunyai sumber dan kemampuan untuk melindungi dan memberi nasihat kepada mangsa kanak-kanak, sementara undang-undang jenayah digunakan untuk mengambil tindakan terhadap suspek,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Latheefa berkata peraih getah dari Kelantan berumur 41 tahun, yang berkahwin dengan gadis di selatan Thailand pada Jun tanpa pengetahuan isteri pertama dan kedua, mengakui secara terbuka yang beliau sudah menaruh hati sejak kanak-kanak itu berusia tujuh tahun.
“Dengan pengakuannya sendiri, termasuk mempunyai nafsu terhadap kanak-kanak itu sejak berusia tujuh tahun, suami ‘pedofilia’ itu melakukan kesalahan pengantunan kanak-kanak (child grooming) di bawah Akta Kesalahan Seksual 2017.
“Ia adalah kes yang mudah, tetapi beliau masih terlepas tanpa dihukum, dan juga memberikan wawancara media seperti selebriti yang merosakkan,” kata Latheefa.
Beliau berkata peraih getah keturunan Kelantan itu tetap menjadi ancaman bukan hanya kepada kepada gadis yang dikahwininya, tetapi juga kanak-kanak lain daripada keluarga miskin.
“Kegagalan mengambil tindakan tegas adalah isyarat kepada pedofil berpotensi lain yang mereka selamat di Malaysia.
“Perlu ditekankan di sini yang jenayah terhadap kanak-kanak itu berlaku di tanah Malaysia, dan oleh itu siasatan dan pendakwaan mesti dilakukan menerusi sistem keadilan jenayah kita,” katanya.
Latheefa menambah respons segera Thailand menubuhkan pasukan antara disiplin untuk menjaga kanak-kanak itu dan menghalang akses suami kepada anak itu memalukan Malaysia.
Beliau berkata tindakan menghantar gadis tersebut ke Thailand kelihatan seperti percubaan Malaysia untuk melepaskan tangan daripada masalah itu.
“Adalah sukar untuk membuat kesimpulan tiada usaha di pihak menteri untuk melindungi kanak-kanak ini dan membawa pelaku ke muda pengadilan,” kata Latheefa.
Pihak berkuasa Thailand mengesahkan semalam remaja tersebut kembali ke negara itu pada Rabu lepas, dan menjalani kaunseling kesihatan mental kerana perhatian yang diterimanya.
Walaupun dilahirkan di Thailand, ibu bapanya bekerja di ladang getah di Kelantan, gadis berusia 11 tahun itu tidak mampu berbahasa Thailang dengan baik. – 13 Ogos, 2018.
Komen