Mahkamah tangguh keputusan isu kalimah 'Allah'


Bede Hong

Peguam Lee Heng Seng yang mewakili Jill Ireland keluar dari mahkamah selepas hakim memutuskan keputusan kes itu ditangguh hingga Oktober depan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Ogos, 2018

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan keputusan kepada Oktober berhubung kes membabitkan perlembagaan yag difailkan warga Sarawak Jill Ireland berhubung penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Kristian. 

“Mahkamah menangguhkan kes itu kepada 29 Oktober depan,” kata peguam Lee Heng Seng kepada pemberita di mahkamah hari ini. 

Ireland cuba mendapatkan pengisytiharan hak perlembagaannya untuk mengamalkan agama dilanggar oleh sekatan dan larangan import bahan pendidikan agama. 

Beliau berkempen untuk hak Kristian menggunakan kalimah “Allah” selepas pegawai Imigresen di Terminal Tambang Murah di Sepang, Selangor merampas lapan keping cakera padat Kristian daripadanya pada Mei 2008 kerana mengandungi kalimah “Allah” dalam konteks agama Kristian. 

Selepas tujuh tahun, cakera padat berkenaan dikembalikan semula kepada Ireland pada 2015, namun beliau kekal menyatakan mahkamah gagal menyatakan hak perlembagaannya sebagai penganut Kristian untuk menggunaan kalimah berkenaan.

Hakim Nor Bee Ariffin menangguhkan keputusan itu selepas mengadakan pertemuan dengan peguam dalam kamar hari ini. Antara yang hadir adalah peguam Ireland, Annou Xavier dan timbalan pendakwa raya Shamsul Bolhassan. 

Xavier sebelum ini berkata penyelesaian akan dicapai dengan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan. 

Jill Ireland yang merupakan dari etnik Melanau mahukan pengisytiharan bahawa Bumiputera Kristian di Sabah dan Sarawak mempunyai hak perlembagaan untuk mengamalkan ajaran Kristian “dengan bebas tanpa halangan”.

Ini termasuklah hak untuk menggunakan semua terminologi dalam bahasa Melayu dan Indonesia sama seperti ketika negeri Borneo menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada 1963. 

Pada pendengaran kes di mahkamah tinggi Oktober lalu, peguam kerajaan berkata tindakan Putrajaya menghalang atau menyekat bahan pendidikan agama bukan Islam yang mengandungi kalimah “Allah” dibenarkan di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa budi bicara di bawah Seksyen 9 (1) PPPA atas dasar ketenteraman awam dan keselamatan negara, kata mereka.

Mereka menambah bahawa arahan kerajaan 1986 melarang penggunaan istilah “Allah”, “Kaabah”, “Solat” dan “Baitullah” dalam penerbitan bukan Islam untuk mengelakkan salah faham antara orang Islam dan bukan Islam, terutamanya di semenanjung. – 13 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen