LETUPAN di depoh senjata yang memusnahkan beberapa bangunan di sebuah bandar yang dikawal pemberontak di barat laut Syria membunuh sekurang-kurangnya 39 orang awam termasuk belasan kanak-kanak pada Ahad, kata badan pemerhati.
Wartawan AFP di Sarmada, wilayah Idlib dekat sempadan Turki berkata letupan tidak diketahui dari mana itu menyebabkan dua bangunan runtuh.
Pekerja penyelamat menggunakan jentolak untuk mengalihkan runtuhan dan mengeluarkan mereka yang terperangkap dalam runtuhan, kata wartawan itu.
Sumber pertahanan awam memberitahu AFP pekerja penyelamat berjaya mengeluarkan “lima orang yang masih hidup”.
Tetapi jumlah kematian meningkat apabila lebih banyak mayat ditemui dalam runtuhan, menurut Rami Abdel Rahman, ketua kumpulan Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
Tiga ahli Hayat Tahrir al-Sham (HTS) juga terbunuh, selain 39 orang awam, katanya.
“Letupan berlaku di depot senjata di bangunan kediaman di Sarmada,” kata ketua pemantau yang berpangkalan di Britain.
Tetapi punca letupan itu “belum jelas”, tambah Abdel Rahman.
Beliau berkata kebanyakan yang terbunuh adalah anggota keluarga pejuang HTS, satu perikatan yang diketuai pelampau daripada bekas anggota Al-Qaeda Syria, yang berpindah ke kawasan itu dari wilayah pusat Homs.
Pada Jumaat, 12 orang awam, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dalam pengeboman pihak rejim di Khan Sheikhun dan Al-Tah.
Presiden Bashar al-Assad memberi amaran tentera kerajaan berhasrat untuk menawan semula Idlib, selepas rejimnya yang disokong oleh Rusia menguasai semula wilayah yang dipimpin pemberontak di bahagian lain di Syria.
Pada Khamis, helikopter kerajaan menyebarkan risalah di bandar-bandar di kawasan timur Idlib mendesak orang ramai menyerah diri.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merayu pada hari yang sama untuk mengadakan perbincangan untuk mengelakkan “pertumpahan darah awam” di wilayah itu.
Jan Egeland, ketua pasukan petugas kemanusiaan PBB untuk Syria, berkata: “Perang tidak boleh dibenarkan merebak ke Idlib.”
Sekitar 2.5 juta orang tinggal di wilayah itu, separuh daripadanya berpindah kerana perang di kawasan lain di negara ini.
Lebih 350,000 orang terbunuh dan jutaan hilang tempat tinggal sejak perang saudara Syria bermula pada 2011 dengan penindasan kejam terhadap pihak yang pemberontak anti-kerajaan. – AFP, 13 Ogos, 2018.
Komen