Tiada arahan transgender boleh kongsi tandas wanita, kata Mujahid


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Mujahid Yusof Rawa menegaskan tiada sebarang arahan atau keizinan daripada pihaknya berhubung penggunaan tandas wanita oleh golongan transgender.

Dalam sidang media selepas beliau mengadakan pertemuan dengan wakil komuniti transgender, Nisha Ayub Jumaat lalu, Mujahid akui tersilap ketika memberi respon berhubung penggunaan tandas awam dan beberapa perkara lain. 

“Saya menjawab soalan wartawan yang diajukan secara spontan dan sepintas lalu. Ia bukan kenyataan muktamad mahupun arahan, ia sekadar respon spontan saya. 

“Ingin saya tegaskan, tiada arahan atau keizinan daripada saya untuk transgender berkongsi tandas awam dengan wanita, sebaliknya hanyalah “maybe..” dan “if…” kerana ia boleh melibatkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Mujahid, beliau terbuka untuk membincangkan isu yang sensitif dengan mengambil pendekatan ‘engagement’ yang disifatkannya lebih lembut dan sesuai dalam berdakwah berbanding ‘confrontational’.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri kata Mujahid telah pun menjalankan kerja-kerja dakwah secara ‘engagement’  sejak lapan tahun yang lalu, untuk mengeluarkan mereka dari kancah industri seks sebagai objektif pertama dan seterusnya memberi bimbingan ilmu dan keagamaan bagi perubahan sepenuhnya. 

“Ditegaskan lagi, bahawa menggunakan pendekatan dakwah secara engagement bukan bermakna saya atau kerajaan menyokong perlakuan mereka, tetapi sebagai kerajaan, kami perlu memastikan agar tiada pihak yang semakin menjauhkan diri disebabkan pendekatan keras dan menghukum di peringkat awal.

“Demikian juga hal berkaitan saf solat. Semua hal tersebut sesuai dibicarakan lanjut kelak oleh pihak mufti sebagai keputusan terbaik. Apapun, saya memohon maaf kepada pihak yang berasa tersinggung dengan kekeliruan yang telah berlaku dan juga menarik semula kenyataan yang kurang sesuai,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, kajian Jakim selama lapan tahun menunjukkan kesukaran golongan transgender mendapatkan pekerjaan disebabkan peraturan oleh majikan, serta adat dan budaya di negara ini menjadi antara faktor mendorong mereka untuk menjadi pekerja seks kerana menganggap mereka tidak diterima oleh masyarakat. 

“Kita tidak boleh nafikan hak asas pelaku selaku manusia untuk didekati, dibimbing, mendapat pekerjaan yang sesuai, mendapat pelanggan bagi perniagaan, rawatan apabila sakit, bantuan apabila memerlukan, tiada dihina dan dikutuk ketika ingin mendapatkan hak asas yang tersebut di atas hingga akhirnya terus membenci agama dan manusia lain. 

“Itulah hak asas yang wajar dinikmati oleh seluruh warganegara. Selagi penunaian hak itu tidak mengancam hak yang lain secara jelas,” ujarnya.

Mujahid turut menyeru kepada semua pihak supaya berhenti daripada memanipulasi kenyataan beliau dengan fitnah atau kesimpulan yang tidak pernah beliau maksudkan. – 13 Ogos, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen