Polis Mesir tahan 6 suspek terlibat serangan gereja


Anggota polis berkawal di lokasi pengebom bunuh diri yang terbunuh dalam cubaan menyerang Gereja Virgin Lady di daerah Shobra el-Kheima pada Sabtu. – Gambar AFP, 13 Ogos, 2018.

PIHAK berkuasa Mesir menahan enam anggota yang disyaki “rangkaian pengganas” di sebalik serangan bunuh diri yang tidak berjaya di sebuah gereja di pinggir Kaherah, kata Kementerian Dalam Negeri pada Ahad.

Seorang pengebom bunuh diri cuba menyerang Gereja Virgin Lady di daerah Shobra el-Kheima pada Sabtu tetapi meletupkan dirinya sebelum sempat sampai kepada sasarannya, kata pihak berkuasa.

Ia berkata, alat peledak yang tersembunyi di dalam pakaiannya meletup ketika suspek berundur disebabkan kehadiran polis yang mengawal sekitar gereja.

Polis mengenal pasti pengebom itu sebagai Omar Mohamed Ahmed.

Mereka berkata suspek adalah sebahagian daripada “rangkaian pengganas”, tetapi tidak menyatakan daripada kumpulan mana.

Selepas menggeledah kediaman penyerang itu, polis berkata mereka mendapati bukti mengenai konspirator dan rancangan untuk melakukan serangan lanjut.

Kementerian Dalam Negeri menyenaraikan nama enam anggota “rangkaian pengganas” ditangkap.

Tempat ibadat penganut Kristian di seluruh Mesir berulang kali disasarkan dalam serangan yang didakwa dilakukan kumpulan mulitan Islamic State (IS).

Serangan bom di beberapa gereja Koptic di Kaherah, Iskandariah dan bandar Delta Nil di Tanta pada 2016 dan 2017 membunuh sekurang-kurangnya 80 orang.

Orang Kristian Koptik membentuk kira-kira 10% daripada penduduk Islam yang kebanyakannya Muslim Sunni berjumlah kira-kira 96 ​​juta orang.

Tentera Mesir kini sedang menjalankan operasi besar-besaran yang memberi tumpuan kepada Semenanjung Sinai untuk menghapuskan IS. – AFP, 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen