Masalah kewangan kritikal, Umno rombak syarikat parti


SM Amin

Umno berdepan masalah kewangan yang semakin kritikal selepas tewas pada pilihan raya umum 9 Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2018

UMNO akan merombak semula syarikat milik parti secepat mungkin bagi mengatasi masalah kewangan yang semakin kritikal selepas tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei, kata sumber.

Menurut sumber, perkara itu disampaikan oleh presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan di pemukiman Umno yang berlangsung selama dua hari di Janda Baik baru-baru ini.

“Presiden memaklumkan parti memerlukan hampir RM50 juta setahun untuk operasi di seluruh negara sebelum ini tetapi sumbangan yang diberikan oleh syarikat milik parti tidak sampai separuh daripada jumlah itu.

“Akaun parti pula dibekukan kerajaan. Jadi Umno terpaksa melakukan sesuatu termasuk dengan menstruktur semula syarikat milik mereka untuk menampung dana parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber, Zahid bagaimanapun tidak menyatakan jumlah atau nama syarikat yang terlibat kerana pegangan kepentingan Umno dalam syarikat diwakili oleh penama untuk menguruskannya.

Umno mempunyai 19.05% pegangan saham dalam Media Prima Bhd yang mengendalikan empat rangkaian televisyen percuma di samping beberapa stesen radio melalui syarikat Gabungan Kesturi Sdn Bhd dan Altima Inc.

Bagaimanapun struktur pegangan saham Umno di Media Prima masih boleh dicabar pemegang saham besar yang lain jika berlaku kemungkinan pertukaran ahli lembaga pengarah.

Ia boleh dicabar dengan gabungan jumlah pegangan dari dana pelaburan milik kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menguasai 35.97 peratus kepentingan dalam Media Prima.

Umno juga menguasai kumpulan media Utusan Melayu (M) Bhd dengan kepentingan sebanyak 49.77%. Kumpulan media itu menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!

Pemegang saham kedua terbesar dalam syarikat itu, dengan kepentingan sebanyak 14.76%, adalah Nilam Setar (M) Sdn Bhd yang merupakan unit pelaburan ahli perniagaan terkenal, Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Susulan perubahan kuasa ekoran pilihan raya umum 9 Mei, Umno berdepan tekanan untuk melepaskan kepentingan dalam Utusan Melayu yang sedang berhadapan dengan krisis kewangan. 

Bagaimanapun, parti itu meneruskan penstrukturan semula dalam syarikat itu dengan melantik bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Abd Aziz Sheikh Fadzir sebagai pengerusi eksekutif, berkuat kuasa 7 Jun lalu.

Pelantikan baharu itu dibuat dua minggu selepas ahli lembaga pengarah Utusan, termasuk orang kanan bekas presiden Najib Razak, meletak jawatan secara sukarela.

Ia melibatkan pengerusi, Mohamad Fatmi Che Salleh dan empat lagi pengarah iaitu Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan Mohd Yusof Abu Othman serta Md Afendi Hamdan.

Satu lagi syarikat milik Umno, Putrade Property Management Sdn Bhd pula bertanggunjawab untuk menguruskan Putra World Trade Centre dan ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn.

Masa depan aset itu juga menjadi persoalan memandangkan rancangan besar untuk pembangunan semula menara ibu pejabat parti serta pembinaan menara baharu di situ masih menjadi tanda tanya.

Turut dimiliki Umno adalah KUB Malaysia Bhd, syarikat induk yang berkecimpung dalam bidang maklumat, komunikasi dan teknologi, hartanah, kejuruteraan & pembinaan serta industri makanan.– 13 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen