Dua pendatang haram ditemui mati di hutan Croatia


Beberapa orang pendatang haram berlindung dan cuba memanaskan badan di sebuah bangunan terbiar di Bosnia. Kebanyakan pendatang ini berkhemah di kawasan taman dan berlindung di bangunan terbiar di Bosnia.– Gambar EPA, 13 Ogos, 2018

DUA pendatang haram yang memasuki negara Croatia daripada Bosnia ditemui mati pada Ahad di dalam hutan kira-kira 90 kilometer dari sempadan, kata polis Croatia. 

“Dua belas orang ditemui dan dua daripadanya mati,” kata jurucakap polis Senka Staroveski kepada pemberita, menambah mereka ditemui pada Ahad di dalam hutan berhampiran pekan Dreznica.

Menurut laporan Jutarnji List, dua pendatang terbabit mati ketika tidur pada Sabtu selepas ditimpa bongkahan batu yang runtuh dari tebing bukit.

Menurut dokumen yang ditemui bersama mangsa, kedua-dua mereka adalah warga Syria dan berusia 24 tahun, tambah laporan itu.

Polis bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut dan hanya menyatakan siasatan sedang dijalankan.

Pihak berkuasa Bosnia menganggarkan kira-kira 4,000 pendatang dan pelarian kini berada di Bosnia, kebanyakannya di ekan Bihac dan Velika Kladusa, kedua-duanya berhampiran sempadan Croatia.

Kesemua pendatang berkenaan berharap untuk memasuki negara Kesatuan Eropah yang turut digelar “laluan Balkan”.

Ramai pendatang ini berkhemah di kawasan taman dan di bangunan terbiar, manakala sukarelawan tempatan dan Palang Merah menyediakan makanan dan keperluan asas lain.

Mereka merupakan antara 10,000 pendatang yang memasuki negara Balkan yang miskin itu secara haram sejak Januari, menurut angka terbaharu kerajaan.

Menurut kumpulan hak asasi manusia Doctors Without Borders, lebih 80 orang pendatang telah meninggal dunia - kebanyakannnya sebab lemas, mati kesejukan atau terlibat dalam kemalangan jalan raya - sejak penghijrahan itu bermula di Turki. – AFP, 13 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen