PRESIDEN Nicolas Maduro akan membiarkan ejen-ejen FBI Amerika Syarikat (AS) datang ke Venezuela bagi membantu menyiasat plot yang didakwa untuk membunuhnya dengan bom dron baru-baru ini - tetapi berserta syarat.
“Jika pegawai AS mengesahkan tawaran FBI untuk menyiasat kaitan di Florida dengan rancangan bunuh itu… saya akan setuju FBI datang ke sini,” kata Maduro pada satu majlis dengan pegawai tinggi tentera petang semalam.
Menurut Maduro, ada “pengganas sel” di Florida - yang menempatkan ramai pendatang Venezuela - yang diketuai oleh Osman Delgado Tabosky, yang didkawanya dalang di sebalik plot pembunuhan itu.
Beliau berkata demikian selepas Menteri Luar Jorge Arreaza pada Rabu berkata pembantu duta AS di Caracas, James Story, melahirkan rasa prihatinnya terhadap dakwaan plot pembunuhan pada 4 Ogos lalu, selain menyatakan kesediaan AS untuk bekerjasama.
Dua dron yang dilekatkan dengan bahan letupan diterbangkan ke arah Maduro ketika sedang menghadiri perbarisan tentera di Caracas, kata pegawai.
Sebaik saja dron itu disedari, tentera bertempiaran lari kerana panik.
Pihak berkuasa berkata mereka telah menahan 10 orang suspek yang dituduh terlibat dengan mendapat sokongan dari Colombia serta mereka yang tinggal di AS.
Presiden Venezuela itu beberapa kali menuduh Washington bersekongkol untuk menjatuhkannya.
Caracas dan Washington sejak 2010 tidak pernah menukar duta mereka.
Semalam, Maduro sekali lagi menuduh bekas presiden Colombia, Juan Manuel Santos terlibat dalam plot itu.
Seorang suspek yang ditahan oleh ejen Venezuela ialah ahli parlimen pembangkang, Juan Requesens. Kerajaan Maduro berkata Requesens mengaku berkomunikasi dengan suspek kedua yang ditangkap, yang didakwa mengaku terlibat dalam serangan tersebut. – AFP, 12 Ogos, 2018.
Komen