Tiga 'pengganas' mati, lima ditahan dalam serbuan di Jordan


Suspek meletupkan bangunan yang menjadi tempat persembunyian mereka yang telah dipasang jerangkap samar. – Gambar EPA, 12 Ogos, 2018.

PASUKAN keselamatan Jordan membunuh tiga orang “pengganas” dan menangkap lima yang lain ketika serbuan selepas seorang pegawai terbunuh dalam letupan dekat ibu negara, kata kerajaan semalam.

Tiga anggota keselamatan turut terbunuh dalam serbuan yang diadakan pada Sabtu, selepas bom buatan sendiri yang diletakkan di bawah sebuah kereta peronda meletup di sebuah festival muzik.

Satu pasukan khas yang terdiri daripada polis dan tentera telah menyerbu sebuah rumah di bandar Salt di barat laut Amman begi mencari suspek “pengganas sel”, jurucakap kerajaan, Jumana Ghneimat berkata.

Menurut Ghneimat, tiga anggota pasukan keselamatan itu terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah bangunan.

“Suspek enggan menyerah dan menembak ke arah pasukan keselamatan,” kata Ghneimat dalam satu kenyataan.

“Suspek juga meletupkan bangunan yang menjadi tempat persembunyian mereka yang telah dipasang jerangkap samar.”

Dalam satu perkembangan awal pada Ahad, Ghneimat berkata tiga mayat serta senjata automatik ditemui di bawah runtuhan bangunan pangsapuri empat tingkat itu.

Beliau juga berkata jumlah keseluruhan mereka yang ditangkap di Salt sejak Sabtu ialah seramai lima orang.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab kejadian letupan bom pada Jumaat yang mencederakan enam anggota keselamatan di Al-Fuhais di barat Aman, sebuah bandar yang majoriti penduduknya beragama Kristian. – AFP, 12 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen