Pesawat bawa 9 orang hilang di Indonesia


Pesawat Pilatus buatan Switzerland itu terputus hubungan dengan menara kawalan trafik ketika dalam perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 40 minit di kawasan pedalaman Papua, kata polis. – Gambar EPA, 11 Ogos, 2018.

SEBUAH pesawat kecil membawa sembilan orang hilang pada Sabtu ketika perjalanan singkat merentasi kawasan pergunungan di timur Indonesia, kata pihak berkuasa yang menambah pasukan mencari dan menyelamat dalam perjalanan ke kawasan itu.

Pesawat Pilatus buatan Switzerland itu terputus hubungan dengan menara kawalan trafik ketika dalam perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 40 minit di kawasan pedalaman Papua, kata polis.

“Penduduk kampung di Okatem melaporkan mereka mendengar bunyi kuat daripada pesawat sebelum berlakunya letupan,” kata Ketua Polis Daerah Bintang Michael Mumbunan kepada AFP.

Pasukan mencari dan menyelamat sudah dihantar tetapi akan mengambil masa tiga jam untuk sampai ke lokasi dengan berjalan kaki, tambahnya.

Pesawat itu membawa tujuh penumpang termasuk seorang kanak-kanak dan dua anak kapal.

Ia milik Dimonim Air, sebuah syarikat penerbangan persendirian yang berkhidmat di sekitar Papua.

Indonesia sangat bergantung kepada pengangkutan udara yang menghubungkan ribuan pulaunya, tetapi peraturan pengangkutan udara yang lemah menyebabkan banyak nahas berlaku.

Papua adalah salah sebuah kawasan yang sukar dihubungi.

Lima orang maut selepas pesawat kecil terhempas berhampiran Wamena di Papua pada Julai tahun lepas.

Pada Ogos 2015, sebuah pesawat komersial Trigana terhempas di Papua kerana cuaca buruk membunuh semua 54 orang di dalamnya. – AFP, 11 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen