Saya tak pernah jumpa kapal semewah Equanimity, kata Dr Mahathir


Gan Pei Ling

Semua yang anda boleh fikir ada di sana, dan banyak lagi benda yang tak terfikir pun ada, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang melawat Equanimity hari ini bersama-sama beberapa menteri kabinet, ketua polis dan ketua tentera. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Ogos, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad kagum dengan kemewahan dalam kapal pesiar mewah berharga RM1 bilion Equanimity yang dilawatinya di Pelabuhan Klang pagi ini.

“Sangat mewah. Saya pernah menaiki kapal pelayaran sebelum ini tetapi tiada yang seperti ini. Segalanya hebat,” katanya kepada wartawan selepas melawat kapal itu.

Kapal pesiar mewah itu didakwa dibeli dengan hasil rompakan 1MDB kini ditambat di Boustead Cruise Center sejak Selasa lalu.

Katanya, kapal itu tidak dibuka untuk orang awam bagi menjaga keadaaanya.

“Kita sudah ambil gambar dan akan tunjuk kepada orang ramai rupa kapal dan apa yang ada di dalamnya.

“Perabot direka khas untuk kapal kerana saya tidak pernah melihat perabot sedemikian rupa dan bilik dalam kapal sangat hebat terutamanya bilik tidur utama. Boleh tidur dengan melihat langit, jika panas boleh tutup siling bilik itu.”

Dr Mahathir ditemani Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalan Liew Chin Tong, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, Panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Angkatan Tentera Laut Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

“Segalanya yang diimpikan berada dalam kapal tersebut,” kata Dr Mahathir. – 11 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen