PM: AS sahkan Jho Low beli Equanimity dengan duit curi 1MDB


SM Amin

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) juga mengesahkan Malaysia bukan sahaja berhak menyimpan malah juga berhak menjual kapal itu untuk meraih semua wang tersebut, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang melawat kapal itu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Ogos, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Amerika Syarikat mengesahkan bahawa kapal pesiar mewah Equanimity sememangnya milik negara ini.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) juga mengesahkan Malaysia bukan sahaja berhak menyimpan malah juga berhak menjual kapal itu untuk meraih semua wang tersebut, katanya lagi.

Jelasnya, siasatan DoJ juga mengesahkan kapal itu dibeli oleh ahli perniagaan, Jho Taek Low menggunakan duit yang dicuri dari 1MDB.

“Bila mereka curi duit, mereka perlu letakkan duit itu disuatu tempat. Untuk menutup (jejak) duit tersebut, mereka beli hartanah dan kapal seperti ini.

“Mereka fikir dengan cara itu, duit yang mereka curi sudah dibersihkan tetapi siasatan yang dijalankan oleh DoJ mendapati kapal ini milik Jho Low dan duit yang digunakan untuk beli kapal datang dari duit yang dicuri dari 1MDB.

“Mereka mempunyai dokumen dan memberi jaminan kepada kami, kapal ini milik Jho Low dan mereka kata jika kami mahu simpan kapal ini, kami mempunyai hak kerana ia dibeli dari duit yang dicuri di Malaysia dan jika kami mahu jual, kami mempunyai hak untuk berbuat demikian,” katanya.

Perdana menteri bercakap kepada pemberita selepas melawat kapal tersebut di Terminal Boustead Cruise Centre, di Pelabuhan Kelang hari ini. – 11 Ogos, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen