INDONESIA siap sedia mengetepikan rasa bimbang tentang keganasan, jenayah jalanan dan masalah kesesakan lalu lintas yang dahsyat, dalam tempoh seminggu sebelum Sukan Asia berlangsung.
Jakarta dan Palembang di Sumatera bakal menjadi tuan rumah kepada 11,000 atlet dan 5,000 pegawai dari 45 negara Asia sepanjang 18 Ogos hingga 2 September untuk kejohanan itu, acara pelbagai sukan terbesar dunia, selepas Olimpik.
Indonesia mempunyai masa agak terhad berbanding negara tuan rumah lain sebelum ini, selepas ia bersetuju menjadi tuan rumah apabila Vietnam menarik diri.
Bagaimanapun, Indonesia berkata mereka bersedia menganjurkan kejohanan itu.
“Tidak ada masalah dalam persediaan setakat ini, dan jika ada masalah kami akan selesaikan secepat mungkin,” kata ketua penganjur Erick Thohir.
Sebanyak 70% tiket terjual untuk upacara pembukaan di ibu kota Jakarta pada Sabtu depan, katanya.
Di sebalik kebimbangan tentang kesesakan lalu lintas Jakarta, pihak berkuasa berkata satu pelaksanaan sistem plat lesen pada masa sekarang sudah kelihatan berkesan.
“Kelajuan perjalanan meningkat hampir 60% sementara tempoh perjalanan meningkat 43% daripada 15.56 minit setiap km kepada 8.86 setiap km,” kata ketua agensi pengangkutan Jakarta, Andri Yansyah.
Atlet dan pegawai akan menggunakan jalan yang ditetapkan dan sekolah ditutup untuk mengurangkan penumpang harian.
Ketika kali terakhir Indonesia menganjurkan acara sukan besar, Sukan SEA 2011, dua dilaporkan maut dalam rempuhan di stadium ketika perlawanan akhir bola sepak di Jakarta.
Dalam memastikan keselamatan kali ini, kira-kira 40,000 anggota polis dan tentera akan ditempatkan di Jakarta dan Palembang. – AFP, 11 Ogos, 2018.
Komen