JUMLAH pelancong melawat Cuba terus meningkat, walaupun terdapat “kempen” AS untuk mengekang aktiviti ekonomi di pulau komunis itu, kata pegawai Cuba pada Jumaat.
Hampir tiga juta pelancong sampai ke kepulauan Caribean itu antara 1 Januari dan 9 Ogos tahun ini, dan pihak berkuasa menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada lima juta orang pada hujung tahun ini berbanding 4.5 juta orang pada 2017.
Menteri pelancongan Cuba berkata angka positif itu wujud “walaupun ada kempen dianjurkan dan diarahkan kerajaan AS untuk mengurangkan aliran pelancong AS ke negara kita.”
Kerosakan disebabkan Taufan Irma tahun lepas yang menjejaskan banyak hotel nampaknya tidak memberi kesan kepada industri pelancongan.
Tarikan pantai bersih, tinggalan sejarah dan alam semulajadi Cuba menarik jutaan pelancong setiap tahun.
Tetapi AS menasihati rakyatnya supaya tidak melawat Cuba, dengan pentadbiran Donald Trump mengurangkan hubungan diplomatik dengan Havana yang bermula pada 2015 di bawah Barack Obama.
Tahun lepas, kepulauan itu menarik 619,523 pelancong Amerika, tiga kali ganda berbanding 2016. – AFP, 11 Ogos, 2018.
Komen