Kod pakaian syariah tidak selesaikan diskriminasi di tempat kerja


Melati A. Jalil

Aktivis berkata garis panduan pakaian patuh syariah tidak akan menyelesaikan masalah diskriminasi di tempat kerja, sebaliknya menyebabkan lebih banyak diskriminasi secara tidak langsung terhadap wanita Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2018.

AKTA Kesaksamaan Gender dan undang-undang menentang gangguan seksual diperlukan untuk mencegah diskriminasi di tempat kerja, bukannya kod berpakaian, kata aktivis hak wanita terhadap cadangan menteri tentang garis panduan untuk sektor swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur Goh Siu Lin berkata pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa itu akan hanya mengukuhkan lagi idea bahawa polis moral boleh diterima.

“Jika niat kerajaan ialah mencegah diskriminasi, maka sepatutnya fokus kepada memberikan kesaksamaan kepada mangsa diskriminasi.

“Hak asas wanita untuk mencari nafkah dan bebas daripada keganasan seksual ialah isu nasional dan patut dilindungi, sama ada wanita itu dalam sektor swasta atau kerajaan, Muslim atau bukan.

“Untuk menjayakannya, kita perlu guna pendekatan lebih holistik. Gubal dan luluskan Akta Kesaksamaan Gender dan Akta Gangguan Seksual supaya ada undang-undang membolehkan mangsa melawan pelaku diskriminasi,” katanya, yang juga bekas presiden Persatuan Peguam wanita.

Mujahid awal minggu ini berkata Putrajaya sedang menyiapkan kod pakaian mematuhi syariah bertujuan melindungi wanita Islam ang bertudung daripada diskriminasi. Beliau memetik contoh mereka yang bekerja di syarikat penerbangan dan industri perkhidmatan di mana majikan melarang mereka memakai tudung.

Ia susulan kekecohan yang berlaku tahun lalu berhubung dasar “tidak bertudung” untuk pekerja wanita dalam industri hotel.

Goh berkata garis panduan pakaian tidak akan menyelesaikan masalah diskriminasi di tempat kerja, dan sebaliknya mencipta lebih banyak diskriminasi secara tidak langsung terhadap wanita Islam.

“Garis panduan yang dicadangkan itu gagal mempertimbangkan bahawa wanita di negara kini mengalami diskriminasi di tempat kerja atas pelbagai alasan.

“Teratas dalam senarai ialah diskriminasi kehamilan dan gangguan seksual,” katanya, turut mempersoalkan sama ada kerajaan diberi kebenaran kuasa undang-undang untuk membuat perubahan dasar seperti itu berkenaan sektor swasta.

Mujahid berkata Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sudah mula mengadakan perbincangan berkenaan kod pakaian dan kini di peringkat akhir. – 11 Ogos, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen