PBB desak siasatan 29 kanak-kanak maut serangan bas di Yaman


Rayuan itu dibuat susulan pengumuman gabungan itu bahawa ia sudah mengarahkan siasatan dibuat terhadap serbuan di kawasan kubu kuat Saada pada Khamis itu. Jumlah kematian 51 orang termasuk 40 kanak-kanak. – Gambar EPA, 11 Ogos, 2018.

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa satu siasatan “yang boleh dipercayai” dilancarkan berhubung insiden kematian sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak dalam satu serangan udara oleh gabungan yang diketuai Arab Saudi di utara Yaman.

Rayuan itu dibuat susulan pengumuman gabungan itu bahawa ia sudah mengarahkan siasatan dibuat terhadap serbuan di kawasan kubu kuat Saada pada Khamis itu.

Duta Britain Karen Pierce berkata selepas satu mesyuarat tertutup tentang Yaman diadakan, mereka memutuskan “jika mana-mana siasatan yang diadakan tidak boleh dipercayai, majlis itu akan menyemak semula” dan membuat keputusan sama ada siasatan lanjut akan diadakan atau tidak.

Serangan itu terkena sebuah bas di pasar Dahyan di Saada, menyebabkan sekurang-kurangnya 48 orang tercedera termasuk 30 kanak-kanak, menurut Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Bas itu rosak teruk, dan sisa mayat serta barangan peribadi mereka masih bersepah di kawasan itu.

Gabungan terbabit yang menentang pemberontak Yaman sejak 2015 mendakwa bas berkenaan membawa pejuang Huthi.

Pada awalnya, gabungan itu berkata ia menjalankan aksi ketenteraan yang sah, menyasarkan sebuah bas, sebagai respons kepada serangan senjata terhadap Arab Saudi oleh pemberontak Huthi pada Rabu.

Pada sidang akhar di Dahyan, Menteri Kesihatan Huthi Taha al-Mutawakel berkata jumlah kematian dalam jenayah kejam itu ialah 51 orang termasuk 40 kanak-kanak.

“Jumlah ini masih belum muktamad. Ramai lagi masih hilang dan sisa mayat masih bersepah di sekitar tempat kejadian,” katanya. – AFP, 11 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen