16 maut dalam serangan Taliban di Ghazni, Afghanistan


16 orang terbunuh manakala 33 lagi cedera selepas militan Taliban melancarkan serangan besar-besaran ke atas bandar Ghazni, yang terletak di timur Afghanistan pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua.

Ketua polis wilayah Ghazni, Farid Ahmad Mashal, berkata beratus-ratus militan Taliban sebelum itu menyerang ibu pejabat polis, direktorat nasional bagi keselamatan dan pejabat gabenor wilayah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut jumlah korban kedua-dua pihak namun berkata kumpulan militan telah berundur dan operasi sedang dijalankan untuk mengusir mereka dari bandar itu.

“Enam belas mayat termasuk 14 anggota pasukan beruniform dan dua orang awam serta 33 mangsa yang cedera termasuk lapan orang awam, telah dibawa ke hospital,” kata ketua hospital wilayah Ghazni, Baz Mohammad Humat.

Kumpulan militan Taliban belum mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu.– Bernama, 10 Ogos, 2018.


 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen