AHLI Dewan Undangan Negeri Sarawak Rolland Duat menafikan mempunyai rancangan atau sebarang “niat untuk sertai PKR” selepas posting keahlian PKRnya viral di media sosial.
Wakil rakyat Meluan dari Parti Demokratik Rakyat (PDP) memberitahu The Malaysian Insight “ia (khabar angin) direka oleh individu dalam kawasannya”.
“Saya tidak pernah ada rancangan atau berniat untuk menyertai PKR. Saya masih setia dengan PDP dan presiden Tiong King Sing dan juga kepada ketua menteri Sarawak,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah malam ini turut menafikan posting di media sosial berhubung dakwaan Duat menyertai PKR.
“Tidak benar,” kata Uggah dalam jawapan ringkasnya.
Dalam laman web PKR, status keahlian Duat menunjukkan permohonannya menyertai parti dalam Pakatan Harapan itu diterima pada 27 Jun dan diberi nombor keahlian Q1800009129.
Duat dari PDP sebelum ini tidak menjawab panggilan mahupun membalas mesej WhatsApp berhubung dakwaan keahlian itu.
GPS yang menerajui negeri Sarawak terdiri daripada gabungan empat parti – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan PDP.
Spekulasi sembilan waklil rakyat dari GPS – 6 Ahli Parlimen PBB dan tiga Adun dari PRS dan PBB – akan lompat parti tersebar sejak beberapa minggu lalu, dengan parti yang tidak dikenali, Parti Pribumi Sarawak, mendakwa kesemua sembilan wakil rakyat berkenaan akan menyertai mereka “pada masa yang sesuai”.
Kesemua enam ahli Parlimen PBB menafikan dakwaan itu.
Sumber dalam PKR memberitahu The Malaysian Insight keahlian Duat mengejutkannya kerana beliau tidak tahu “individu berprofil tinggi” itu akan menyertai parti.
“Mustahil untuk tidak tahu,” katanya.
“Seingat saya, saya tidak tahu Rolland Duat mohon untuk sertai parti dan saya pasti Rolland Duat sendiri tidak tahu beliau kini ahli PKR…mungkin tidak sehingga beliau lihat sendiri dalam pelbagai posting di media sosial.”
Sumber itu berkata, beliau percaya nama Duat dihantar untuk keahlian oleh salah seorang daripada calon bercita-cita tinggi dalam parti itu untuk “menunjukkan sokongannya besar”.
Duat merupakan salah seorang daripada Adun di kawasan Parlimen Julau yang dimenangi calon bebas Larry Sng pada pilihan raya 9 Mei.
Sng menyertai PKR selepas itu.
“Untuk menampakkan beliau mendapat sokongan, calon bercita-cita tinggi itu mungkin menyalin namanya daripada daftar pemilih dan menghantar nama itu ke ibu pejabat parti untuk keahlian.
“Adakah wujud permainan kotor atau salah laku? Terpulang kepada kepimpinan parti untuk menyiasatnya.
“Tetapi keahlian beliau menunjukkan memang terdapat permohonan dan permohonan itu dihantar menerusi pelbagai peringkat.” – 10 Ogos, 2018
Berita penuh di sini.
Komen