HELIKOPTER penyelamat yang membawa sembilan penumpang terhempas di kawasan pergunungan di tengah Jepun pada Jumaat ketika melakukan latihan penerbangan, menurut pihak berkuasa.
Rakaman lokasi kejadian yang disiarkan stesen televisyen negara itu menunjukkan helikopter berkenaan dikelilingi pokok di wilayah Gunma, barat laut Tokyo dan beberapa anggota tentera laut memeriksa kawasan itu.
“Lapan orang ditemui berhampiran kawasan kejadian, namun keadaan mereka tidak diketahui,” kata pegawai di kementerian pertahanann kepada AFP.
Helikopter jenis Bell 412 berlepas dari pangkalannya pada awal Jumaat untuk penerbangan dua jam bagi memantau laluan pendakian antara Gunma dan Nagano dari udara, menurut stesen televisyen NHK.
Namun helikopter terbabit tidak kembali ke pangkalan sebagaimana yang dijadualkan dan terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara, kata [egawai penguatkuasa tempatan Hiroshi Yoshida.
Penumpang yang menaiki helikopter berkenaan termasuklah pegawai dari pengurusan bencana dan ahi bomba, tambahnya.
Kementerian pertahanan mengesahkan helikopter berkenaan terhempas di Gunma dan seorang dilaporkan hilang.
Kemalangan helikopter bukan satu perkara asing di Jepun.
Pada Februari, dua juruterbang terbunuh selepas helikopter tentera terhempas di selatan Jepun. Ia terhempas tujuh minit selepas berlepas, yang mana ia menjunam ke atas sebuah rumah menyebabkan rumah berkenaan musnah dan terbakar.
Tahun lalu, sembilan orang menaiki helikopter terbunuh selepas terhempas ketika menjalani latihan menyelamat di gunung. – AFP, 10 Ogos, 2018
Komen