Tak perlu 'gag order', kata editor Sarawak Report


Briana Leong

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berkata hakim lebih tahu mana yang lebih baik dan tidak akan terpengaruh dengan liputan media dalam perbicaraan kes rasuah Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2018.

TIADA keperluan bagi sekatan terhadap media berhubung kes rasuah Najib Razak kerana hakim lebih tahu mana yang lebih baik, kata Pengasas dan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Rewcastle-Brown yang berada di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini memberitahu pemberita bahawa hakim lebih mengetahui bagaimana tidak dipegaruhi oleh liputan berita bekas perdana menteri yang kini dihadapkan dengan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Saya yakin hakim boleh jalankan tugas seperti biasa, tanpa perlu dipengaruhi oleh media, itu perkara biasa,” katanya.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memetik Sarawak Report sebagai salah satu media yang boleh menjejaskan prosiding dan keputusan mahkamah.

Pasukan peguam Najib sedang memohon perintah sekatan atau “gag order” terhadap media dan orang awam daripada mengulas mengenai kesnya.

Najib berdepan tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan rasuah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung penerimaan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Jika didapati bersalah atas semua pertuduhan, Najib mungkin berdepan hukuman penjara 125 tahun jika hukuman itu dijalankan secara berturutan.

Sejak 2015, Sarawak Report yang berpengkalan di UK secara meluas telah menerbit laporan menggunakan beberapa sumber tidak bernama dan memetik maklumat yang bocor berkaitan 1MDB.

Pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini mengenakan sekatan terhadap akses kepada laman web portal berkenaan. – 10 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen