Kerajaan Laos tubuh jawatankuasa siasatan insiden empangan runtuh 


Empangan Xe-Pian Xe-Namnoy yang runtuh mencetuskan banjir besar dan menyebabkan 35 orang mati manakala 99 lagi masih hilang.– Gambar EPA, 10 Ogos, 2018.

DUA jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat punca empangan hidro yang sedang dalam pembinaan di wilayah Attapeu di selatan Laos, runtuh baru-baru ini, lapor Xinhua.

Jawatankuasa itu juga akan menilai para pegawai yang bertanggungjawab ke atas projek tersebut, menurut Vientiane Times pada Jumaat.

Projek empangan kuasa hidro Xe-Pian Xe-Namnoy, terletak kira-kira 560 kilometer tenggara ibu negara Laos, Vientiane runtuh pada 23 Julai lepas, mencetuskan banjir besar dan menyebabkan 35 orang mati manakala 99 lagi masih hilang.

Lebih 6,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Perdana Menteri Laos Thongloun Sisoulith pada Rabu umum keputusan untuk menubuhkan secara rasmi dua jawatankuasa bersaingan.  

Ia diumumkan sehari selepas kabinet bersetuju mengenai penubuhannya dalam satu mesyuarat luar biasa.

Jawatankuasa pertama yang terdiri 14 wakil daripada pelbagai kementerian dan organisasi itu, akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Pihak Berkuasa Pemeriksa Kerajaan (GIA), Bounthong Chitmany. – Bernama, 10 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen