.jpg)
SEPERTI yang telah saya jangkakan, pandangan terbuka saya yang telah saya tulis semalam (8 Ogos 2018) mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis akan mengguris hati ramai rakan seperjuangan saya di dalam Umno tidak kurang juga menimbulkan reaksi dari rakyat Malaysia yang membaca pandangan saya itu.
Dari maklum balas yang saya terima, memang ramai yang macam cacing kepanasan, maki hamun pun ada dan ada juga yang girang dan gelak terbahak-bahak melihat perlagaan pendapat sesama ahli Umno. Inilah namanya politik. Perbezaan pendapat itu lumrah.
Bagi mereka yang intelek, rajin membaca (tidak hanya membaca tajuk sahaja) dan tidak berfikiran sempit, mereka akan faham bahawa mesej atau isu yang saya cuba bangkitkan bukanlah semata-mata berkisar tentang mantan perdana menteri dan presiden Umno, Najib Razak.
Artikel itu menyentuh isu yang lebih besar iaitu dari sudut survival Umno itu sendiri. Ianya mempersoalkan strategi yang diambil oleh Umno di dalam menghadapi PRK Sungai Kandis, hasil kolaborasi Umno dengan Parti PAS dan hala tuju Umno sebagai sebuah parti nasional.
Ianya adalah pandangan saya mengenai masalah bebanan persepsi negatif ke atas Umno dan kepemimpinannya dan juga betapa perlunya Umno berubah untuk mencapai standard yang lebih tinggi untuk diterima oleh majoriti rakyat.
Saya tidak pernah berlagak seperti yang didakwa oleh Nazir Aktar Hussin dan saya juga tidak meletakkan kekalahan Umno di PRK Sungai Kandis semata-mata kepada Najib. Saya sarankan Nazir Aktar Hussain baca teks saya secara keseluruhan dan tidak hanya baca tajuk yang telah di ‘spin’ kan oleh akhbar dan portal media sosial. Kalau tak faham juga, datang jumpa untuk saya berikan pemahaman yang secukupnya. Sebagai petua Pemuda Umno cawangan beliau boleh jumpa saya bila-bila masa.
Apa yang saya bangkitkan ialah kemungkinan kehadiran Najib dalam siri kempen yang membawa bersama beliau bebanan persepsi negatif merupakan suatu strategi yang tidak bijak kepada Umno. Saya tidak pernah mengatakan yang Najib telah bersalah dalam kes rasuah. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Prinsip yang sama saya guna kepada Lim Guan Eng sewaktu beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah apabila wartawan meminta komen dari saya.
Umum semua tahu yang Najib sekarang ini berhadapan dengan persepsi rasuah dan ini mungkin salah satu faktor menyebabkan undi untuk BN merosot di PRK Sungai Kandis.
Membaca komentar Nazir Aktar Hussin terhadap pandangan terbuka saya itu, nampak sangat yang beliau ini tergolong di antara mereka yang masih belum bersedia merubah mindset berpolitik dan berdailog melalui penulisan secara ilmiah (intelectual) tanpa menggunakan emosi yang berlebihan.
Sememangnya budaya Melayu itu menuntut agar jasa orang perlu dikenang. Saya tidak pernah menafikannya tetapi biarlah ianya bertempat. Kesetiaan membuta-tuli tidak boleh memberi kemenangan kepada Umno. Begitu juga dalam politik ini kalau nak menyokong pemimpin sokonglah tetapi janganlah sokong membawa rebah.
Bebanan pesepsi negatif terhadap Umno inilah yang membawa kepada tsunami pada PRU14 yang lalu dimana ramai menteri-menteri yang tumbang termasuk diri saya sendiri.
Pada PRU14 yang lalu, umum mengetahui Umno dan BN menghadapi banyak isu-isu persepsi seperti GST, kos sara hidup yang tinggi, derma RM2.6 billion, 1MDB dan lain-lain lagi yang dibawa oleh Pakatan Harapan.
Ditambah pula dengan janji-janji manis PH seperti penangguhan pembayaran PTPTN, penghapusan tol, penghapusan GST, penurunan harga petrol dan lain-lain lagi yang menyebabkan majoriti rakyat terutama para pengundi muda telah membuat keputusan untuk menumbangkan BN.
Ramai calon BN menjadi mangsa. Di kawasan bandar seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja kesemua 11 parlimen kalah di tangan PH.
Calon ini tewas bukan sebab tidak mepunyai kredibiliti, tidak berwibawa atau tidak berkhidmat pada rakyat tetapi mereka tewas atas sebab tsunami pengundi yang inginkan perubahan. Ditambah lagi dengan keinginan majoriti rakyat bandar yang sangat mendesak untuk menumbangkan kerajaan yang dipimpin oleh Najib.
Ada juga seorang sahabat saya yang berjawatan ketua Bahagian memberi komen bahawa pada PRU14 yang lalu di kawasan parlimen Kuala Lumpur ini jika PH letak calon tunggul sekalipun, kemungkinan besar akan menang.
Nazir Aktar Hussin sepatutnya bersyukur tidak menjadi calon BN Titiwangsa pada PRU14 yang lalu lantas tidak terkena gelombang tsunami tersebut. Pada pandangan saya pada PRU15 kelak kalau ada rezeki insyaallah beliau mungkin ada harapan untuk dipilih menjadi calon dan mana tahu jika BN berjaya menubuhkan kerajaan mungkin juga boleh dilantik menjadi menteri kewangan.
Yang paling cemerlang lagi adalah bila komen Nazir Aktar Hussin ini cuba mengaitkan saya dengan kes rasuah semasa menjadi pengerusi UDA. Sepanjang pengetahuan saya tidak pernah sekali pun saya dipanggil oleh mana-mana agensi penguatkuasaan sama ada SPRM atau PDRM yang mengaitkan saya dengan sebarang salah laku jenayah rasuah atau salah guna kuasa sebelum atau selepas menjawat jawatan menteri.
Cukuplah apa yang saya ada hari ini untuk menanggung anak isteri saya. Saya pun bukan jenis yang terlari sana-sini cari projek atau kejar tender dengan menggunakan jawatan politik. Lagi pun banyak mana sekalipun harta bukan boleh dibawa mati. Nasihat saya kepada beliau jadilah ahli politik yang tidak mengamalkan budaya politik samseng.
Umno perlulah benar-benar melihat kembali strategi kempen pilihanrayanya yang akan datang untuk menarik balik undi-undi yang hilang hasil perang persepsi yang telah berlansung beberapa tahun sebelum PRU-14.
Perjuangan hak dan kepentingan orang Melayu sahaja tidak cukup untuk menang. Sebagai sebuah parti nasional kepercayaan kaum bukan melayu terhadap kita juga sangat penting untuk menjamin kemenangan pada PRU15 nanti. Janganlah kita menang sorak kampung tergadai. – 10 Ogos, 2018
* Johari Abdul Ghani merupakan Ketua Umno Titiwangsa dan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen