New Zealand haramkan beg plastik


Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata ia sebagai langkah melindungi reputasi New Zealand sebagai negara yang 'bersih dan hijau'. – Gambar EPA, 10 Ogos, 2018.

NEW Zealand menjadi negara terbaharu pada Jumaat mengharamkan beg membeli-belah plastik untuk kegunaan tunggal, dengan Perdana Menteri Jacinda Ardern mengatakan ia akan dihentikan pada tahun depan sebagai “langkah yang bermakna” ke arah mengurangkan pencemaran.

New Zealand menggunakan “ratusan juta” beg plastik guna tunggal setiap tahun, yang akhirnya merosakkan kehidupan marin, kata Ardern.

“Kita perlu jauh lebih bijak dalam menguruskan sisa dan ini adalah permulaan yang baik,” katanya.

“Kita hentikan penggunaan beg plastik supaya kita dapat persekitaran denga lebih baik dan melindungi reputasi New Zealand sebagai negara yang “bersih dan hijau.”

Ardern berkata, kerajaan gabungannya, termasuk Parti Hijau, berdepan cabaran alam sekitar dan “sama seperti perubahan iklim, kami mengambil langkah-langkah yang bermakna untuk mengurangkan pencemaran plastik supaya kita tidak menurunkan masalah ini kepada generasi akan datang.”

Beg plastik adalah antara sampah yang sering ditemui di pantai New Zealand dan kumpulan alam sekitar Greenpeace mengalu-alukan keputusan pengharaman itu.

“Ini boleh menjadi lonjakan besar ke depan dalam mengubah arus pencemaran plastik di laut dan langkah pertama yang penting dalam melindungi kehidupan marin seperti penyu dan paus laut, daripada sisa plastik yang semakin meningkat,” kata wakil Greenpeace Oceans Emily Hunter.

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Jun berkata terdapat sehingga lima trilion beg plastik digunakan secara global setiap tahun, iaitu hampir 10 juta beg plastik seminit.

“Kalau ia diikat bersama, semua beg plastik ini boleh membalut satu dunia sebanyak tujuh kali bagi setiap jam,” kata Erik Solheim, ketua Alam Sekitar PBB.

PBB berkata lebih 60 negara memperkenalkan larangan dan levi ke atas barangan plastik seperti beg.

Tetapi pengurusan sisa yang lebih baik, insentif kewangan untuk mengubah tabiat pembelian pengguna dan penyelidikan terhadap bahan alternatif diperlukan untuk membuat perubahan sebenar, tambahnya. – AFP, 10 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen