PEGUAM Negara Tommy Thomas telah menyalahgunakan kuasa dengan melantik firma guamannya untuk mengendalikan kes berkaitan penahanan kapal pesiar mewah Equanimity, kata peguam Khairul Azam Abdul Aziz.
Kata Azam, peguam Sitpah Selvaratnam bukannya satu-satunya peguam di negara ini yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam undang-undang maritim.
“Kalau kita buat carian di Google, terdapat lebih daripada 18 firma guaman di Malaysia yang bertaraf pakar dalam bidang undang-undang maritim.
“Malah terdapat sekurang-kurangnya empat orang peguam persekutuan kanan yang mahir dalam bidang Admiralty Law,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tommy sebelum ini mempertahankan keputusannya melantik seorang peguam daripada bekas firma guamannya untuk mewakili kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam tuntutan ke atas Equanimity.
Menurut Azam, pengakuan Tommy bahawa keputusan melantik Selvaratnam tu adalah keputusan beliau bersendirian adalah bukti jelas berlakunya salah guna kuasa dalam pelantikan tersebut.
“Ini adalah satu pengakuan jenayah salah guna kuasa bahawa Tommy Thomas telah melantik firma Tommy Thomas utk mewakili Tommy Thomas.
“Bukan isu firma Tommy Thomas di bayar atau tidak. Fakta ini tidak relevan dalam pembuktian kes salah guna kuasa.
“Tidak bayar atas meja, ada bayaran ‘bawah meja’. Ini taktik semua kita tahu. Ini isu penyalahgunaan kuasa dan cubaan menipu rakyat,” tegasnya. – 9 Ogos, 2018.
Komen