Enam maut tertimbus akibat bangunan runtuh


Mangsa yang dikeluarkan daripada runtuhan bangunan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Kejadian bangunan runtuh menjadi perkara biasa di India berikutan kelonggaran aspek keselamatannya. – Gambar EPA, 22 Julai, 2017.

SEKURANG-kurangnya enam orang maut selepas ditimbus runtuhan bangunan di tengah kota Mumbai pada Selasa, yang merupakan insiden terbaharu membabitkan kelemahan struktur pembinaan di negara itu.

Anggota penyelamat mengeluarkan puluhan orang yang masih hidup daripada runtuhan di mana sebahagiannya mengalami kecederaan serius, selepas struktur bangunan di utara kawasan Ghatkopar itu ranap, menurut kenyataan rasmi.

“Angka kematian kini adalah enam orang. 15 orang lagi dikhuatiri masih terperangkap dan operasi menyelamat giat dijalankan,” kata jurucakap pengurusan bencana badan pentadbiran awam Mumbai, Tanaji Kamble kepada AFP.

Kejadian bangunan runtuh di India merupakan perkara biasa terutamanya pada musim hujan pada akhir Jun hingga September.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, sebahagian struktur bangunn runtuh di Kolkata, timur India selepas hujan beberapa hari melanda kawasan terbabit. Beberapa orang terperangkap dalam runtuhan itu, namun tiada laporan kemalangan jiwa.

“Anggota bomba cuba menyelamatkan orang yang terperangkap dalam runtuhan itu,” kata pengarah jabatan bomba negeri Bengal Barat, G P Gosh.

Jutaan penduduk Mumbai terdedah kepada ancaman runtuhan bangunan berikutan kos hartanah yang tinggi dan kekurangan rumah mampu milik menyebabkan mereka terpaksa mendiami bangunan yang tidak selamat.

Bandar terbabit pernah berdepan dengan beberapa kejadian runtuhan bangunan yang membawa maut dalam beberapa tahun ini kebanyakannya berpunca daripada pembinaan tidak kukuh kerana kuliti bahan binaan teruk dan keadaan bangunan usang.

Pada 2013, 60 orang maut apabila blok rumah runtuh dalam salah satu tragedi paling buruk di Mumbai. – AFP, 25 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen