SEOUL telah menghantar sebuah kapal perang ke Tripoli untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada seorang jurutera Korea Selatan dan beberapa pekerja asing lain yang diculik di Libya, lapor agensi berita China Xinhua.
Duta Korea Selatan ke Libya, Choi Sung-soo, membuat kenyataan itu ketika bertemu Timbalan Perdana Menteri Libya, Abdussalam Kajman, di Tripoli pada Rabu.
“Duta itu melahirkan kebimbangannya terhadap keadaan jurutera Korea Selatan terbabit dan pekerja lain yang telah diculik,” menurut kenyataan pejabat maklumat dan komunikasi perdana menteri.
Abdussalam berkata usaha sedang dilakukan bagi membebaskan kesemua mangsa culik, dan beliau turut menekankan hasrat Libya untuk mengekalkan hubungan mesra negara itu dengan Korea Selatan.
Pada Jun, sekumpulan lelaki bersenjata telah menyerang sebuah tapak projek bekalan air kerajaan di barat daya Libya dan menculik tiga pekerja rakyat Filipina serta seorang jurutera dari Korea Selatan.
Libya terjerumus dalam kancah keganasan, kekacauan dan perpecahan politik selepas penggulingan Kolonel Muammar Gaddafi pada 2011.
Insiden penculikan menjadi perkara biasa yang sering berlaku.
Kumpulan lelaki bersenjata bertindak menculik pekerja asing, pegawai tempatan dan rakyat biasa untuk mendapatkan wang tebusan. – Bernama, 9 Ogos, 2018.
Komen