PRESIDEN Indonesia Jokowi Widodo membuat kejutan apabila menamakan Ketua Umum Nahdlatul Ulama Maruf Amin sebagai calon timbalan presiden untuk Pilihan Raya Umum Presiden (Pilpres) Indonesia 2019, lapor CNN Indonesia.
“Saya memutuskan dan telah mendapatkan persetujuan dari Koalisi Indonesia Kerja bahawa yang akan mendampingi saya sebagai calon wakil presiden 2019-2024 adalah Prof. Dr. Ma’ruf Amin,” kata Jokowi seperti dipetik CNN.
Pengumuman itu mengejutkan banyak pihak kerana nama yang sering disebut-sebut bakal menjadi calon timbalan presiden Jokowi ialah bekas ketua hakim Mahkamah Perlembagaan Indonesia Mahfud MD.
Ma’ruf, selaku ketua umum Nahdlatul Ulama, organisasi Islam terbesar dan berpengaruh negara itu dijangka memberi kelebihan besar kepada Jokowi.
Gandingan Jokowi-Maruf akan berdepan cabaran gandingan Prabowo-Sandiaga Uno bagi merebut jawatan presiden dan timbalan presiden bagi penggal 2019-2024 di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu.
Hari penamaan calon akan berakhir pada Jumaat dan pengundian akan berlaku April 2019. – 9 Ogos, 2018.
Komen