SEORANG lelaki warga Australia berdepan hukuman penjara 20 tahun kerana mengedar kokain di Bali, kata polis pada Khamis.
Brendon Luke Johnson, dari Brisbane, Australia ditahan Sabtu lalu bersama-sama teman wanita warga Indonesia di sebuah rumah di Kerobokan, kawasan yang terkenal dalam kalangan penduduk asing.
Polis berkata mereka menemui 13 paket kokain seberat 11.6 gram dalam dompetnya dan di dalam kotak ketika menyerbu rumah itu.
“Pelanggannya adalah pelancong asing yang datang ke Bali dan memerlukan dadah,” kata Ketua Polis Tempatan Hadi Purnomo kepada wartawan.
Pereka berusia 43 tahun itu yang sudah menetap di Bali selama empat tahun berkata beliau menjual dadah untuk menampung masalah ketagihannya, kata Purnomo.
Johnson juga mendakwa ia membantunya menangani tekanan dan sakit kepala, tambah ketua polis itu lagi.
Polis menahan Johnson selepas menerima maklumat daripada penduduk tempatan yang melihat seorang wanita tempatan berusia 20-an menggunakan dadah di kawasan berhampiran.
Selepas disoal siasat polis, wanita itu berkata beliau membantu teman wanita Johnson menjual kokain.
Indonesia mempunyai undang-undang anti dadah antara paling ketat di dunia, penyeludup boleh dihukum mati sekiranya membawa lebih 5 gram dadah.
Beberapa warga asing dan Indonesia sudah dihukum mati kerana menyeludup dadah, termasuklah warga Australia Andrew Chan dan Myuran Sukumaran pada 2015, dua ahli Bali Nine yang ditahan pada 2005 kerana cuba menyeludup dadah dari Indonesia ke Australia.
Kes berprofil tinggi seperti warga Australia Schapelle Corby yang menghabiskan masa sembilan tahun dalam penjara kerana menyeludup ganja mewujudkan kebimbangan pulau tarikan pelancong itu semakin jadi tumpuan penagih dadah. – AFP, 9 Ogos, 2018.
Komen