MAHKAMAH Thailand menjatuhkan hukuman penjara 114 tahun terhadap bekas sami ada Khamis selepas setahun diekstradisi dari Amerika Syarikat.
Wiraphon Sukphon menjadi tumpuan pada 2013 selepas dilihat mengenakan kaca mata pereka khas dengan beg tangan Louis Vuitton di atas sebuah jet peribadi.
Bekas sami berusia 39 tahun itu melarikan diri ke AS namun dihantar pulang ke Thailand selepas didakwa merogol remaja bawah umur dan menggelapkan wanng derma untuk membina patung Buddha daripada zamrud yang terbesar di dunia.
Siasatan lanjut mendapati, Wiraphon memiliki kereta mewah dan beberapa akaun bank yang memiliki wang berjumlah AS$700,000.
Wiraphon disabitkan atas tuduhan pengubahan wang haram, penipuan, dan melanggar Akta Jenayah Komputer untuk mengutip derma dalam talian, kata pegawai mahkamah di Bangkok kepada AFP.
“Hakim mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman penjara 114 tahun,” kata pegawai terbabit dan menambah di bawah undang-undang Thai Wiraphon tidak akan dipenjarakan lebih 20 tahun atas kesalahan itu.
Wiraphon juga dikehendaki memulangkan semula 28.6 juta baht kepada 29 penderma yang memfailkan aduan.
Perbicaraan kes rogol membabitkan bekas sami itu dijangka berlangsung pada Oktober, kata pendakwa raya.
Bekas sami itu didakwa melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur sekitar 10 tahun lalu hingga melahirkan seorang bayi. Wiraphon turut berdepan tambahan hukuman 20 tahun penjara jika sabit kesalahan.
Majoriti penduduk Thailand beragama Buddha dan agama itu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka, di mana kebanyakan lelaki akan menghabiskan masa di kuil sebagai sami baru.
Namun junta tentera yang merampas kuasa pada 2014 mengambil langkah tergas terhadap sami Buddha yang terlibat dengan skandal.
Pemerasan, seks dan kes dadah melibatkan sami di negara itu mengejutkan masyarakat, dan pihak berkuasa negara itu pada tahun lalu mendapat idea untuk memperkenalkan kad pengenalan digital bagi mengesan sami yang memiliki rekod jenayah. – AFP, 9 Ogos, 2018
Komen