POLIS Bangladesh menahan sekurang-kurangnya 12 aktivis media sosial kerana didakwa menyebarkan khabar angina menerusi Facebook ketika protes pelajar minggu lepas yang menyebabkan 1,000 orang cedera, kata pegawai kanan polis pada Khamis.
Dhaka dan beberapa bandar lain lumpuh lebih seminggu bulan ini disebabkan ribuan pelajar dan mahasiswa melakukan tunjuk perasaan.
Kumpulan hak asasi mengecam tindak balas polis terhadap demonstrasi itu termasuklah penangkapan jurugambar terkenal, pelakon wanita ternama dan seorang wartawan kanan ketika protes itu.
Pihak berkuasa menyiasat lebih 1,000 akaun Facebook dakwa mereka pencetus keganasan protes, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Dhaka Nazmul Islam.
“Setakat ini kami sudah menahan 12 orang kerana menyebarkan khabar angin. Harapnya dalam masa beberapa hari lagi kami akan tangkap lebih ramai orang,” katanya.
Ada yang ditahan mendakwa empat gadis dirogol dan dua penunjuk perasaan dibunuh ketika kemuncak demonstrasi pada Sabtu, kata Islam.
Undang-undang internet Bangladesh membenarkan kawal selia media sosial dan komen di internet tetapi kumpulan hak asasi menuduh kerajaan menggunakan undang-undang itu untuk mengekang bantahan dan protes aman.
Amnesty International memanggil perundangan itu “draconian” dan kumpulan pemantau Freedom House menyifatkan ia “mewujudkan persekitaran menakut-nakutkan”.
Jurugambar ternama Shahidul Alam, pelakon wanita terkenal Kazi Naushaba dan ketua pengarang portal berita adalah antara yang ditahan dan didakwa di bawah undang-undang internet itu.
Alam ditahan pada Ahad selepas memberikan temuramah kepada stesyen Al Jazeera dan mengulas demonstarsi itu di Facebook. Beliau mendakwa dipukul dalam tahanan.
Islam berkata penyebaran khabar angin dalam talian itu menyebabkan “kerosakan 382 kenderaan awam, termasuk lapan kereta polis. Tiga kereta polis pula dibakar.”
“Hampir 1,000 orang cedera, 45 polis turut cedera parah,” tambahnya,
Bantahan di seluruh Bangladesh itu menuntut pengangkutan di negara itu ditambah baik keselematannya selepas sebuah bas melanggar mati dua remaja akhir Julai lalu.
Polis bertindak balas dengan melempar gas pemedih mata dan kumpulan pro kerajaan pula menyerang penunjuk perasaan, jurugambar, malah kereta duta AS turut diserang.
Tindakan polis itu mendapat kecaman antarabangsa dan kerajaan Perdana Menteri Sheikh Hasini dikecam PBB, AS dan kumpulan hak asasi. – AFP, 9 Ogos, 2018.
Komen