GREECE tidak memberikan kerakyatan kepada pihak yang melabur di negara itu, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Pesuruhjaya Keadilan Kesatuan Eropah (EU) Vera Jourova yang menyatakan “kita tidak mahu kuda Trojan dalam EU”.
Berdasarkan laporan akhbar Jerman, Jourova berkata wujudnya risiko keselamatan daripada program visa emas yang dikendalikan oleh anggota EU, kerana pemegangnya mempunyai akses ke Kawasan Schengen.
Jourova berkata pengawalseliaan rangka kerja mengenai hal itu akan menjadi antara agenda EU pada musim luruh nanti.
Sementara itu kenyataan Kementerian Dalam Negeri menjelaskan, “Greece bukan negara anggota EU yang memberi kerakyatan kepada pelabur, pembeli harta tanah atau aktiviti perniagaan lain”.
“Satu-satunya perubahan yang dibuat pada tahun 2017 adalah mengenai keupayaan mereka yang mempunyai permit penduduk untuk memohon kerakyatan selepas tujuh tahun tinggal di negara itu. Ia terpakai kepada semua kategori pemegang permit”.
Jelas kenyataan itu lagi, prasyarat itu adalah terpakai untuk semua pemohon (fasih dalam bahasa Greek dan sebagainya). Permit penduduk tidak bermakna diberi dokumen perjalanan.
Di bawah program yang dilancarkan pada tahun 2013, Greece memberikan permit penduduk kepada rakyat negara ketiga yang membeli aset harta bernilai lebih 250,000 euro (US$290,000), serta ahli keluarga mereka.
Menurut data terkini dari kementerian, sejumlah 2,639 visa telah ditawarkan kepada warga negara ketiga setakat ini. – Bernama, 9 Ogos, 2018.
Komen