Banyak ahli Parlimen PKR akan tawar kerusi demi Anwar, kata Johari


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul berkata ramai lagi ahli Parlimen kanan dari PKR yang mahu menawarkan kerusi mereka kepada bakal presiden Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018.

LEBIH ramai ahli Parlimen kanan dari PKR sedia mengosongkan kerusi mereka di Dewan Rakyat untuk membolehkan bakal presiden parti itu, Anwar Ibrahim bertanding dan seterusnya dilantik sebagai perdana menteri, kata Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

Johari berkata mereka yang sedia mengosongkan kerusi untuk beri laluan kepada Anwar bertanding pilihan raya kecil itu bukan hanya beliau dan Ahli Parlimen Selayang Willian Leong saja.

“Akan ada empat atau lima orang ahli Parlimen tawar kerusi mereka. Anwar juga sedang mempersiapkan dirinya untuknya menjadi perdana menteri,” kata Johari pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Johari menjelaskan laporan yang memetik kenyataannya semalam bahawa beliau sedia mengorbankan kerusinya di Dewan Rakyat untuk membuka laluan kepada Anwar mengambil alih pentadbiran negara daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya terpanggil nyatakan saya sedia lepaskan kerusi saya jika beliau (Anwar) pilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani. Saya buka pintu seluas luasnya untuk Anwar bertanding di Sungai Petani,” katanya.

Johari berkata Anwar memberitahu kepadanya beliau sedia mempertimbangkan tawaran itu.

Sebelum ini, Leong dilapor menawarkan kerusi untuk Anwar bertanding, dan menjadi wakil rakyat PKR pertama yang membuat tawaran demikian.

Bagaimanapun sumber parti juga memberitahu The Malaysian Insight, Anwar akan bertanding di kerusi kawasan Melayu dan tentunya bukan Selayang yang disandang Leong.

Kedudukan Anwar sebagai ahli Parlimen jadi perhatian kerana beliau dipersetujukan sebagai pengganti Dr Mahathir untuk jadi perdana menteri, seperti persetujuan bersama empat komponen Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum 9 Mei.

Jawatankuasa pemilihan pusat PKR semalam mengesahkan Anwar sebagai bakal presiden PKR, yang hanya akan mengambil jawatannya pada kongres nasional parti pada November ini. Setakat ini, Dr Wan Azizah Wan Ismail masih menjalankan tugas sebagai presiden. – 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen