Anwar tak minat jadi MB, tidak bertanding di Seri Setia 


Gan Pei Ling Nabihah Hamid

Ketua umum PKR Anwar brahim berkata beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi MB Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018

BAKAL presiden PKR Anwar Ibrahim tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil Seri Setia di Selangor 8 September ini. 

“Saya tidak mahu jadi menteri besar. Tidak perlu jadi Adun. Saya tak pernah terfikir,” kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini. 

“Saya kembali ke Parlimen sebagai backbencher. Pembaharuan di Parlimen adalah kritikal dalam demokrasi,” tambahnya.

Anwar dijangka akan menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun, mengulangi kenyataan beliau tidak tergesa-gesa. 

“Sekarang kita beri sokongan penuh kepada Dr Mahathir. Beliau perlu diberi ruang sepenuhnya untuk mentadbir tanpa tekanan dan paksaan,” katanya. 

Pilihan raya kecil Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya Shaharuddin Badaruddin, yang merupakan naib presiden PKR dan exco Selangor akibat kanser pada 2 Ogos lalu. 

Anwar pada Ahad lalu menang tanpa bertanding pada pemilihan PKR bagi jawatan presiden, dan mengambil alih jawatan itu daripada isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail. – 9 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen