Jangan salah guna kedudukan dalam pemilihan PKR, kata Anwar 


Gan Pei Ling Nabihah Hamid

Ketua umum PKR Anwar Ibrahim bersama isterinya yang juga Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Ogos, 2018

BAKAL presiden PKR Anwar Ibrahim memberi amaran kepada ahli parti yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan agar tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk berkempen pada pemilihan parti yang sedang berlangsung.

“Calon-calon harus elak dari penyalahgunaan kuasa. Menteri-menteri, menteri besar, exco tidak boleh guna kedudukan mereka sama ada mengugut atau memujuk mana-mana ahli untuk meraih undi.

“Selagi saya diberi mandat untuk memimpin, saya tidak akan bertolak ansur. Parti ini ditubuhkan untuk menentang rasuah, pembaziran, penyalahgunaankuasa, arrogance of power,” katanya. 

Anwar menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden PKR pada Ahad lalu.

Pertandingan sengit dijangka bagi jawatan timbalan presiden antara penyandangnya Mohamed Azmin Ali, yang merupakan menteri hal ehwa ekonomi dan naib presiden PKR Rafizi Ramli. 

Kira-kira 12 pencabar bertanding untuk empat jawatan naib presiden, termasuk menteri kabinet Dr Xavier Jayakumar dan Zuraida Kamaruddin dan timbalan menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Anwar berkata presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjalankan tugas partinya sehingga kongres PKR pada November. 

Dr Wan Azizah turut menggesa ahli parti agar mengelakkan daripada serangan peribadi dalam pemilihan parti. 

Sebagai parti yang paling besar dalam pakatan, beliau berkata ahli parti perlu menjadi contoh bagi menunjukkan PKR merupakan parti yang berprinsip. – 9 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen