.jpg)
MALAYSIA Baharu impian rakyat ialah Malaysia yang lebih matang demokrasinya yang mengakar merimbun prinsip kesopanan dan kesusilaan.
Harapan suasana yang mendamaikan. Harapan institusi Parlimen yang lebih matang perbahasannya dan lebih lunak bahasanya.
Sayang seribu kali sayang, harapan lebur dengan kedangkalan moral, akhlak dan tutur kata ahli Parlimen.
Daripada frasa “gengster”, “samseng” sehinggalah pelbagai frasa kurang sopan yang digunakan oleh para wakil rakyat.
Amat mendukacitakan perkara sebegini berlaku dalam sebuah institusi yang sakral dan suci dalam konteks sebuah negara demokrasi.
Tidak wajar sekiranya Parlimen dijadikan medan perkelahian menggunakan kata-kata kesat, gelanggang pertunjukan badut berkolar putih meraih publisiti murahan.
Parlimen seharusnya menjadi tempat penting dalam membincangkan kepentingan awam serta tempat perbahasan rang undang-undang demi kesejahteraan dan kemudahan negara dan rakyat.
Perbahasan Parlimen seharusnya berjalan dengan penuh harmoni, disertai fakta konkrit berkisar soal pembangunan negara, kebajikan rakyat bukannya tempat melabel musuh politik dengan cercaan mahupun makian keji.
Menyebut soal tatasusila anggota Dewan Rakyat, sekalian Yang Berhormat harus muhasabah kembali pemaknaan Yang Berhormat sebagai “wakil rakyat”. Insaflah, “wakil rakyat” memanifestasikan secara teguh penyataan komitmen sebagai pembawa hasrat dan aspirasi rakyat bukan cita-cita peribadi.
Wakil rakyat itu harus indah akhlaknya, lunak bahasanya, ikhlas kerjanya, adil khidmatnya dan santun budinya. Paradigma tatasusila tinggi yang sebati dengan masyarakat majmuk Malaysia seharusnya menjadi pegangan para Yang Berhormat agar menjadi suri tauladan rakyat bawahan.
Rakyat sangat teruja mengikuti perbahasan Parlimen pasca detik dramatik perubahan landskap politik negara. Kualiti perbahasan serta kewibawaan 222 ahli Parlimen sedang dinilai oleh rakyat.
Apa yang rakyat dambakan dalam sidang bagi penggal kali ini adalah keluh-kesah mereka dibincangkan, suara mereka dijulang dan masalah mereka dinyatakan solusi.
Andai para Yang Berhormat merasakan rakyat ikut rapat persoalan kontroversi, tegas akan kami laungkan:” Sila berhenti!!”.
Ingatlah, andai para Yang Berhormat masih degil dengan sikap keanak-anakan masing-masing, janganlah berharap rakyat yang dipimpin akan menjadi elok.
Ketahuilah, politik perubahan pada era Malaysia baharu bukan semata menukar parti politik yang mengemudi negara, tetapi seharusnya diisi dengan suatu anjakan perubahan politik berasaskan politik nilai dan politik akhlak bukan politik kebencian mahupun politik cercaan.
Reformasi! – 9 Ogos, 2018.
* Ahmad Farhan Rosli ialah exco penerangan dan penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia 2017/2018.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen