Angka kematian gempa Lombok meningkat kepada 164 orang


Poolis Indonesia menggunakan anjing pengesan untuk mencari mayat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan rumah akibat gempa di Lombok. – Gambar EPA, 9 Ogos, 2018

ANGKA kematian daripada bencana gempa bumi di kepulauan Lombok di Indonesia meningkat kepada lebih 160 orang, kata pihak berkuasa pada Khamis, yang turut menggesa bantuan bekalan ubat-ubatan, makanan dan air bersih kepada kira-kira 156,000 penduduk yang hilang tempat tinggal akibat bencana itu. 

Kebanyakan penduduk yang masih ketakutan berlindung di bawah khemah di sepanjang jalan raya atau di kawasan sawah padi dan khemah perubatan sementara dibina untuk merawat mangsa yang cedera. 

Mangsa terselamat yang ditempatkan di penempatan itu berkata, mereka kehabisan bekalan makanan dan kebanyakan mangsa masih mengalami trauma berikutan gempa kuat yang tercetus seminggu selepas gempa sebelumnya yang menyebabkan 17 orang terbunuh. 

“Anhka kematian meningkat kepada 164 orang dengan sekurang-kurangnya 1,400 orang cedera parah dan 156,000 hilang tempat tinggal,” kata jurucakap agensi bencana nasional Sutopo Purwo Nughoro kepada AFP. 

Puluhan ribu bangunan kediaman, premis perniagaan dan masjid mengalami kerosakan akibat gempa yang berlaku pada Ahad. 

Pihak berkuasa tempatan, pasukan bantuan antarabangsa dan kerajaan persekutuan kini mengatur penghantaran bantuan, namun keadaan jalan raya yang rosak teruk menyukarkan usaha untuk ke kawasan pergunungan di utara Lombok yang menempatkan ribuan mangsa terselamat.

“Kami masih menunggu penilaian daripada pihak yang berada di kawasan terpencil di utara kepulauan ini, tetapi sudah jelas gempa yang berlaku pada Ahad lalu memberi kesan kemusnahan yang besar,” kata ketua pasukan penilaian Palang Merah, Christopher Rassi dalam satu kenyataan. 

Beliau menganggarkan 75% kediaman yang musnah adalah di beberapa perkampungan di timur dan utara Lombok. 

“Masih ada mangsa yang belum menerima sebarang bantuan, terutamaya di utara dan barat Lombok,” kata Nughoro melalui Twitter pada Khamis.  – AFP, 9 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen